
KUALA LUMPUR: Purata perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail untuk hari bekerja pada bulan ini seramai 746,000, iaitu peningkatan ketara berbanding 613,000 pada Januari lalu.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata perkhidmatan Rapid Rail termasuk Laluan Ampang, Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorail, Laluan MRT Kajang dan MRT Putrajaya.
Sementara itu, katanya perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya (MRT2) bermula dengan pembukaan Fasa 1, iaitu dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Kampung Batu pada 16 Jun tahun lalu, diikuti dengan Fasa 2 pada 16 Mac lalu.
Berdasarkan pemantauan kementerian, katanya purata perjalanan penumpang harian (hari bekerja) meningkat sebanyak 305 peratus, iaitu daripada 23,000 perjalanan penumpang dalam Fasa 1 kepada 93,000 perjalanan penumpang sehari dalam Fasa 2.
“Komitmen kerajaan untuk menggalakkan penggunaan MRT 2 dibuktikan melalui usaha RapidKL menyediakan perkhidmatan bas perantara di sekitar Putrajaya yang melibatkan lima laluan, termasuk laluan dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8.
“Purata perjalanan penumpang harian (hari bekerja) yang direkodkan bagi lima laluan antara Mac lalu hingga Ahad lalu adalah sejumlah 706 perjalanan penumpang) dan dijangkakan terus meningkat berdasarkan trend penumpang pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Siew Fook berkata, purata perjalanan penumpang harian (hari bekerja) bagi keseluruhan bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya bagi tempoh yang sama ialah 7,959.
Menjelang suku tahun keempat 2023, katanya bilangan penumpang dijangka terus meningkat dengan penambahan tren-tren baharu yang akan beroperasi di Laluan Kelana Jaya dan penyiapan penuh kerja membaik pulih struktur retak di Laluan Ampang.
“Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan membuat pelaburan dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan demi menggalakkan peralihan ke mod pengangkutan awam yang lebih selesa, lebih selamat dan rendah karbon.
“Selain itu, pas perjalanan tanpa had MY50 bagi perkhidmatan rel dan bas juga diteruskan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2023




















