
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Razali Idris melahirkan kebimbangan dengan kenaikan harga beras yang dijangka akan berlaku pada bulan hadapan.
“Kita difahamkan harga beras putih import 10 kilogram akan naik antara RM1 hingga RM2 pada bulan hadapan. Jadi soalan saya, apakah strategi kerajaan untuk menangani kenaikan itu.
“Ini kerana nilai ringgit kita masih lagi jatuh ke tahap RM4.68 kepada 1 dolar Amerika Syarikat,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Tmbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata dakwaan bahawa harga beras akan naik pada bulan hadapan bukan kenyataan rasmi kerajaan.
Menurutnya, kenyataan itu dibuat oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Datuk Ameer Ali Mydin).
“Saya hendak tekankan di sini bahawa dakwaan ada kenaikan harga berasa hanya membabitkan beras import dan bukan beras tempatan yang membekalkan 75 peratus untuk kegunaan domestik,” katanya.
Sementara itu, katanya antara tindakan kerajaan bagi memastikan harga dan bekalan beras tempatan stabil dan terjamin adalah dengan menetapkan harga kawalan maksimum beras di peringkat kilang dan borong.
Selain itu, katanya mesyuarat penyelarasan bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) diadakan dua minggu sekali bagi memantau beras import dan tempatan di pasaran. – HARAKAHDAILY 26/6/2023




















