
KOTA BHARU: Biarpun Pakatan Harapan dan Umno membangkit pelbagai isu bagi menggambarkan kelemahan kerajaan negeri, namun ia dianggap tidak melemahkan sokongan rakyat.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, antaranya isu air, sehingga sekarang Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah berusaha meningkat pengeluaran air dan menukar paip lama.
“Rakyat lebih memahami apa keadaan sebenar di mana Kelantan begitu lama disisih daripada mendapat peruntukan kerajaan Pusat bagi meningkat projek bekalan air.
“Jadi walaupun isu mari bertubi-tubi isu air tetapi yang realitinya pengundi tidak mudah terpengaruh,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di Pasaraya Besar Mydin Mall di Bandar Baru Tunjung di sini petang semalam.
Ditanya mengenai keyakinan PAS untuk mempertahankan kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, katanya kesungguhan jentera pilihan raya begitu penting bagi mendekati setiap pengundi.
“Kalau ditanya menang atau kalah itu kita serah kepada Allah, cuma yang pentingnya kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaik mungkin kepada rakyat.
“Rakyat melihat sendiri apa yang kita lakukan selama ini dan mereka boleh buat penilaian sendiri, saya yakin mereka tidak terpengaruh dengan apa yang didakwa oleh pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2023











