Amirudin Shari, ya Azmin Ali tewas, tapi tewas bergaya

- Advertisement -

HARI ini saya terlihat satu video Amirudin Shari ‘menganjing’ Azmin Ali merujuk kepada kemenangan dia di Parlimen Gombak dan juga merujuk kepada angka pelaburan masuk ke Negeri Selangor selepas Azmin Ali sudah tidak menjadi Menteri Besar Selangor.

Saya tidak mahu mengulas bab kemenangan pada PRU15, anda sudah menang, maka raikanlah selagi boleh. Itu lumrah dalam politik dan pilihan raya.

Namun bila anda bercakap soal pelaburan, mungkin anda lupa, ketika Azmin Ali menjawat jawatan Menteri Kanan MITI, pelaburan masuk ke dalam negara mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan berjumlah RM306.5 bilion pada 2021. Angka ini jauh lebih tinggi daripada tahun sebelumnya dan selepasnya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ini meletakkan Azmin Ali sebagai antara Menteri MITI terbaik. 

Pelaburan yang dibawa masuk ini, terdiri daripada sektor pembuatan yang mencatatkan RM195.1 bilion (kenaikan 113.7 peratus), sektor perkhidmatan RM94.1 bilion (kenaikan 34.4 peratus) dan sektor utama RM17.3 peratus (kenaikan 183.6 peratus). 

Selain itu Azmin Ali juga berjaya membawa masuk pelaburan ketika negara dilanda COVID-19 pada 2020 dengan pelaburan berjumlah RM164 bilion yang menghasilkan 114,673 peluang pekerjaan. Tatkala seluruh dunia terhenti akibat COVID-19, negara terus dipacu ekonominya. 

Lebih membanggakan, Malaysia diiktiraf sebagai Top Country in emerging Southeast Asia for Foreign Investment, Global Opportunity Index, oleh Bloomberg 2022. Malaysia juga diiktiraf ditempat ketiga Most innovative upper middle-income economy in the world, Global Innovation Index 2021, WIPO dan tempat kedua Most competitive country in Asean serta tempat ke 25 most competitive country in the world oleh World competitiveness Yearbook 2021, IMD. Banyak lagi kalau hendak saya senaraikan, namun cukuplah setakat ini dahulu.

Sekarang mengenai pelaburan Negeri Selangor sebanyak RM18 bilion pada 2018. Ya benar memang angkanya tinggi. Bukan sahaja 2018, pelaburan yang tinggi juga masuk pada 2019 dan 2020. 

Namun perlu difahami, pelaburan yang masuk ini merupakan hasil secara langsung dan tidak langsung daripada program galakan pelaburan oleh Kerajaan Pusat. 

MIDA sebuah agensi di bawah Kementerian MITI melalui Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) memainkan peranan bagi mempercepatkan pelaksanaan setiap pelaburan. Pemberian kelulusan, insentif pelaburan dan lain-lain sokongan sudah tentunya menarik pelaburan masuk ke dalam negara.

Anda juga beruntung kerana anda menjadi Menteri Besar ketika Darell Leiking dan Azmin Ali sebagai Menteri MITI, yang memberikan sepenuhnya kerjasama untuk membantu Negeri Selangor. 

Namun ketika Azmin Ali sebagai Menteri Besar, dia berhadapan dengan Menteri MITI dari Barisan Nasional sudah tentu wujud halangan disebabkan politik berbeza. Jadi Tindakan membandingkan zaman anda dengan zaman Azmin Ali adalah tidak tepat dan adil.

Oleh yang demikian, nasihat saya kepada Saudara Amirudin Shari jangan terlalu mendongak ke langit. Bersederhanalah dalam berkata-kata. Saya tinggalkan pantun di bawah untuk saudara;

Rosak tiang kerana condong,
Tiang condong cepat robohnya,
Rosak orang kerana sombong,
Orang sombong cepat jatuhnya.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 25/6/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/650875906/posts/pfbid02CPZpZJZPVXJGcB3ezj6cSGM9LE5rmNPwFqze6qJ89oBYA4gNYkVNcLCLSYKY4n8Yl/?app=fbl 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -