
KOTA BHARU: Maahad Ar-Rahmah Kenali berjaya mengembalikan kejayaan sebelum ini apabila seorang pelajar memperolehi 12A peperiksaan SPM 2022 yang diumumkan baru-baru ini.
Pengetua sekolah berkenaan, Malek Ridzuan Hassan berkata, selepas ‘kemarau’ lebih 10 tahun akhirnya seorang pelajar mengulangi semula kejayaan lama sekolah itu.
Katanya Nor Aina Mohd Nor memperolehi 12A, manakala dua lagi pelajar iaitu Nur Islah Mohd Zain (11A) dan Siti Norazlina Mohd Razuan (10A).
“Saya melahirkan perasaan syukur memandangkan perancangan yang dirangka sejak pelajar berkenaan di tingkatan empat akhirnya menemui kejayaan.
“Alhamdulillah kejayaan ini hasil kerjasama semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, guru dan Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) yang memainkan peranan penting,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya Maahad Ar-Rahmah Kenali akan berusaha mengekalkan kecemerlangan itu dengan meningkat lagi jumlah pelajar cemerlang.
Antaranya jadual kelas kecemerlangan secara sistematik yang dianjurkan sebelum ini akan dikekalkan.
Selain itu mengumpul pelajar mengikut tahap kemampuan mereka sama ada peringkat yakin lulus, kepujian dan cemerlang.
“Melalui kaedah itu guru lebih mudah untuk mengajar mereka dan menentukan kumpulan masing-masing bermula dari tingkatan empat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2023











