
KOTA BHARU: Kelantan melancar Modul Usahawan Sayyidatina Khadijah (MUSK) sebagai panduan dalam usaha memperkasakan golongan wanita di pelbagai bidang.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, modul itu dirangka khusus sebagai panduan dalam pembangunan dan pemerkasaan wanita Kelantan berteras keperibadian Sayyidatina Khadijah.
Katanya, modul berkenaan disusun berdasar kerangka sirah Islam yang berpaksikan keperibadian, sikap terpuji dan ciri-ciri keusahawanan Khadijah.
“Modul itu dirangka berdasarkan kajian bersama usahawan wanita Kelantan. Ia perlu dibaca bersama Dasar Wanita Solehah Negeri Kelantan,” katanya ketika melancarkan MUSK semalam. (Foto atas)
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan.
Mumtaz juga berkata, usahawan yang berjaya hendaklah tampil membantu individu yang berminat dalam bidang berkenaan untuk meningkatkan tahap ekonomi golongan hawa.
Menurutnya usahawan juga disaran memperbanyakkan amal jariah daripada keuntungan perniagaan mereka.
“Jangan pula ada dalam kalangan kita setelah berjaya bergelar usahawan, lupa terhadap tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu atau seorang anak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2023











