
SHAH ALAM: Pihak Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menganaktirikan mana-mana kaum ketika memegang pentadbiran kerajaan dulu.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yaasin berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan-dakwaan parti Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan bahawa mereka adalah mangsa kepada agama dan kaum.
“Waktu kita mentadbir negara ketika Covid-19, tiada satu puak pun dan kaum yang kita menganaktirikan dan layanan terhadap mereka tetap adil,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa ini sebagai bukti bahawa pihak PN bukan hanya sekadar bercakap kosong.
“Oleh sebab itu, kita tidak berhasrat untuk membangkitkan hal-hal sebegitu yang boleh menggugat ketenteraman dan semua di dalam Perikatan Nasional tahu mengenai hal ini,” ujarnya.
Beliau memberi kenyataan tersebut ketika berada di sidang media Majlis Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS yang diadakan di I-City Convention Centre (ICCC) hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda PN, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerajaan pimpinan terkini boleh bercakap pelbagai perkara untuk meletakkan negara ke situasi yang lebih baik.
Akan tetapi, beliau sendiri berkata bahawa hakikatnya apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Kita boleh lihat tiada satu pun kenyataan yang jelas bahawa kerajaan yang pada hari ini mempunyai suatu perancangan yang jelas bagaimana nak melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka dulu,” katanya.
Beliau turut mengkritik formula-formula yang dianjurkan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang tidak mempunyai kenyataan yang jelas dalam membetulkan ekonomi negara.
“Ini menunjukkan tidak ada satu pun pernyataan yang jelas tentang apa yang nak dilakukan oleh pihak pimpinan yang ada pada kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau turut yakin bahawa PN akan dapat sokongan penuh namun memberikan peringatan untuk bersifat tidak terlalu yakin dalam menghadapi pertandingan Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung tahun ini. – HARAKAHDAILY 17/6/2023




















