
SHAH ALAM: PAS adalah gerakan Islam yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri sebagaimana juga jemaah-jemaah Islam lainnya di mana telah menimba banyak pengalaman tarbiyah dan siyasah.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, semua yang ada pada PAS adalah gabungan dari elemen terdapat pada jemaah-jemaah lain, namun dengan identiti sendiri.
Beliau berkata demikian pada ‘Bicara Tarbiyah dan Pengkaderan’ dalam Ijtimak Tarbawi 9.0 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dilangsungkan di i-City Convention Centre (ICCC), di sini semalam.
Hal tersebut jelasnya, menjadikan PAS tidak dapat dipesongkan oleh mana-mana pihak yang cuba melarikan tujuan perjuangannya dan mampu menangani setiap konflik dalaman dengan baik atas perbezaan yang ada.
Akui beliau, menggerakkan agenda tarbiyah adalah mencabar, namun tanpa tarbiyah akan menyebabkan aspek politik juga boleh rebah sebagaimana golongan kecewa yang telah meninggalkan parti ini.
Jelas bekas Ketua Pemuda PAS Pusat itu, tarbiyah hakikatnya telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW di mana terdapat juga kalangan pada masa itu yang berjihad dan tidak berjihad, termasuk tersesat dan murtad.
“Maknanya gugur dalam perjuangan. Jadi tak pelik jika sekiranya ada pimpinan PAS yang gugur di tengah jalan. Kerana di sana ada tarbiyah daripada Allah. Tarbiyah daripada kita ni kita kena buat, ijtimak tarbawinya, muqayyamnya, rehlahnya, usrahnya, tamrin ni. Ini kita kena buat.
“Kerana ini untuk membina sahsiah Islam berteraskan kepada akidah syariah dan akhlak. Tarbiyah daripada Allah. Sebab tulah kita harap kita semua istiqamah insya-Allah terus berada di atas landasan perjuangan ini dan mati di atas landasan perjuangan Islam ini insya-Allah,” ujarnya.
Penerangan beliau itu sebagai mengulas sikap segelintir individu di mana cuba membawa pendekatan daripada pihak luar untuk dilaksanakan di dalam PAS serta sikap kalangan yang menjadikan PAS hanya sebagai parti politik.
Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin pula berkata, kerangka besar PAS, yakni dasar perjuangan Islam menjadikan parti ini tidak dapat dibawa lari daripada landasannya biarpun dipimpin oleh individu berbeza latarbelakang selama ini.
Menurutnya, pelbagai individu sama ada dalam kalangan asatizah mahupun profesional atau lain-lain latarbelakang akan bersilih ganti memimpin parti ini membawa tujuan yang sama yakni memartabatkan Islam.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Malaysia dan kini merupakan Ahli Parlimen Jerantut itu menyeru supaya Pemuda-pemuda PAS terus mendukung kepimpinan ulamak yang menjadi kekuatan parti ini. – HARAKAHDAILY 17/6/2023











