
KOTA BHARU: Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong muncul johan pertandingan nasyid sempena Hari Belia Negara 2023 peringkat negeri Kelantan.
Melalui kemenangan itu, kumpulan berkenaan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 serta piala dan sijil penyertaan.
Tempat kedua disandang kumpulan nasyid dari Maahad Muhammadi Lelaki (MML) yang membawa pulang wang tunai RM700 dan sijil penyertaan. Tempat ketiga pula, Maahad Tanah Merah yang menerima wang tunai RM500 serta sijil penyertaan.
Hadiah, piala dan sijil penyertaan disampaikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saifuddin Zakaria.
Sebanyak sembilan sekolah dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyertai program berkenaan. Antaranya Madrasah Tarbiah Islamiah Panchor, Bustanus Saadah Morak, Tumpat; Maahad Tahfiz Bustanu Ariffin, Tumpat; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Mahiliah Geting, Tumpat dan Maahad Yaakubiah Nipah, Bachok.
Penolong Pengarah Ko-Kurikulum YIK, Azman Husin, ketika ditemui semalam memberitahu pertandingan nasyid itu bertujuan untuk mengasah bakat pelajar dalam bidang berkenaan.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri melalui YIK tidak pernah menghalang aktiviti nasyid untuk dipersembahkan kepada umum dengan lirik lagu yang boleh mendidik masyarakat khususnya anak muda ke jalan yang lebih baik.
“Setiap tahun program ini diadakan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan YIK.
“Johan pertandingan ini akan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan menerusi pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Agama Malaysia (MISMAM),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2023











