
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan komitmen dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban dipikul rakyat selama ini.
Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] mengemukakan soalan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini
Berikut ialah soalan daripada Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan sejauh manakah Kementerian telah memastikan supaya dasar ‘zero potholes’ dilaksanakan segera dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, dan memastikan agar setiap kerja penampalan jalan yang dibuat adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status Projek Perumahan Rakyat Bukit Belah di Machang, dan bilakah penerima yang terpilih akan dapat berpindah masuk.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada Kementerian Perpaduan Negara terlibat dalam proses pemantauan dan suntingan drama dan filem bagi memastikan nilai-nilai kerukunan dalam karya-karya yang dihasilkan serta tidak menyentuh isu sensitif yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apa perancangan Kementerian untuk memastikan jalan utama dan jambatan ke perkampungan Orang Asli dinaiktaraf kerana masih banyak yang berstatus guna ‘Jalan Pembalakan’.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian pada waktu ini bagi membantu para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah yang telah tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Kesihatan menyatakan ada Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan sebuah agensi keselamatan kesihatan bersepadu yang bersifat multidisiplin bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta langkah pencegahan dalam menghadapi ancaman pandemik atau endemik pada masa akan datang.
Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah pihak Kementerian akan memulakan kemudahan pengangkutan seperti bas mini yang efektif dan efisyen di pinggiran kawasan bandar seperti Kapar.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini mengenai penubuhan Pasukan Petugas Khas untuk menangani projek-projek sakit terutama pembinaan hospital dan klinik kesihatan yang merupakan bukan satu bangunan biasa tetapi melibatkan pemasangan kemudahan kesihatan seperti mempunyai ruang yang cukup, praktikal dan boleh digunakan untuk semua orang.
Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah tindakan Kementerian dalam menangani permasalahan sistem atas talian melibatkan KPM yang sentiasa mengalami gangguan capaian dan kerap berlaku.
Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan perincian mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dalam penyelidikan klinikal negara khususnya bidang kardiologi, onkologi, reumatologi, kesuburan dan penyakit genetik, dan berapakah bilangan pakar kesihatan tempatan dalam bidang-bidang berkenaan.
Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana penguatkuasaan larangan merokok di premis awam seperti kedai makan bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan sejauh mana persiapan terkini atlet-atlet negara dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan apakah langkah integrasi antara agensi di dalam Kementerian dalam usaha membantu lebih 560,000 penerima bantuan bulanan JKM.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan langkah Kementerian dalam mewujudkan pelbagai program peluang pekerjaan khususnya dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang hilang pekerjaan akibat pandemik yang lalu dan nyatakan peratusan yang berjaya kembali bekerja masa kini dan bagaimanakah pihak Kementerian mengukur keberkesanan program ini.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan perancangan untuk menaiktaraf::-
(a) gelanggang skateboard di Taman Tasik Temerloh; dan; dan
(b) litar motor di Taman Industri Mentakab untuk dimanfaatkan oleh golongan belia.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan :-
(a) adakah Kementerian bercadang untuk mewujudkan satu senarai daftar isi rumah yang diintegrasi mengikut keperluan perumahan untuk golongan miskin bandar bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian berdasarkan kajian Program Perumahan Rakyat (PPR): Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar oleh KRI; dan
(b) sejauh manakah tahap kecekapan dan kesalinghubungan di antara pengangkutan awam dan PPR.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Kerja Raya menyatakan berapakah jumlah projek siap seperti menaik taraf jalan-jalan Persekutuan, membaik pulih dan pembinaan bangunan-bangunan baharu di Negeri Kedah sejak RMK-12 hingga sekarang.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-
(a) berapakah jumlah guru yang telah bersara awal dan faedah ex-gratia atau pencen yang ditawarkan oleh Kementerian; dan
(b) berapa jumlah penambahan guru bagi menampung guru yang bersara awal dan tamat perkhidmatan di setiap negeri.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [ Tangga Batu ] minta Menteri Kesihatan menyatakan :-
(a) berapa nisbah Ahli Fisioterapi berbanding penduduk di Sabah, Sarawak dan Semenanjung; dan
(b) jika tidak mencapai nisbah yang disarankan WHO, apakah langkah yang diambil oleh Kementerian.
Dr. Radzi Jidin [ Putrajaya ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-
(a) status terkini dan garis masa bagi pengambilan 19,000 guru baharu tahun 2023; dan
(b) perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi tahun 2018 hingga tahun 2023 serta unjuran pengambilan guru bagi tahun 2023 hingga 2027 mengikut negeri, termasuk Putrajaya.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta Menteri Kesihatan menyatakan usaha bagi mengurangkan kelewatan dan kesesakan pesakit luar dan kecemasan.
Tuan Zulkifli bin Ismail [ Jasin ] minta Menteri Pendidikan menyatakan statistik permohonan bersara pilihan dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara perbandingan mengikut bidang kepakaran (opsyen) daripada tahun 2021 hingga 2023.
Tuan Hassan bin Saad [ Baling ] minta Menteri Kesihatan menyatakan usaha Kementerian untuk menaik taraf klinik-klinik kesihatan secara holistik di kawasan luar bandar terutamanya di daerah Baling.
Tuan Sabri bin Azit [ Jerai ] minta Menteri Pendidikan menyatakan pendekatan mengurangkan jurang perpaduan yang wujud akibat pengasingan latar belakang terutama pendidikan yang berbeza dari orientasi sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan yang lain.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [ Kuantan ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah kawalan daripada pihak Kementerian bagi menetapkan had bilangan pemilikan rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada seseorang individu warganegara.
Tuan Kalam bin Salan [ Sabak Bernam ] minta Menteri Pendidikan menyatakan menempatkan kerani untuk semua sekolah kurang murid (SKM) untuk mengurangkan beban tugas guru yang terpaksa menjalankan tugas sebagai pentadbir, pengajar dan perkeranian yang boleh mengurangkan tumpuan kepada murid.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [ Tanjong Karang ] minta Menteri Pendidikan menyatakan data lengkap serta kajian berkaitan silibus pelajaran bagi pelajar di sekolah. Adakah KPM telah membuat kajian yang menyeluruh kepada para pelajar /ibu bapa tentang silibus yang digunakan waktu ini, adakah ia memberikan impak yg besar kepada prestasi pembangunan dan kemahiran para pelajar. Jika ya, apakah keputusan dan tindakan serta pembetulan yang telah diambil bagi mengatasi perkara berkenaan.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan status pembinaan MRSM Sik yang belum bermula sedangkan pemilihan tapak pembinaan MRSM itu telah dimuktamadkan.
Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan statistik kawasan perumahan yang menghadapi masalah tekanan air rendah akibat Majlis Daerah/Majlis Perbandaran tidak mewajibkan pemaju perumahan membina tangki air atau ada kaedah untuk menukarkan paip air utama yang lebih besar.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [ Setiu ] minta Menteri Kesihatan menyatakan statistik notis kesalahan merokok di premis yang telah dikeluarkan di seluruh negara mengikut negeri dan umur serta langkah- langkah yang diambil hasil daripada aduan yang diterima.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan pemilihan murid secara adil bagi penempatan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) khususnya kepada rakyat di pinggir bandar.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [ Kuala Langat ] minta Menteri Kesihatan menyatakan :-
(a) apa status terkini Klinik 1Malaysia; dan
(b) apa status atau nasib kumpulan sokongan pembantu perubatan kontrak yang bukan di bawah tajaan Kerajaan.
Tuan Hassan bin Saad [ Baling ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan Kementerian untuk membaik pulih Jalan Tawar- Kuala Ketil dan Jalan Kg Pisang-Gerik.
Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk memajukan kawasan luar bandar di Terengganu khususnya di dalam kawasan yang diwartakan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi memakmurkan lagi pembangunan ekonomi penduduk setempat khususnya dalam sektor pelancongan.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan :-
(a) jumlah anggota dan balai bomba sukarela di Malaysia mengikut pecahan negeri- negeri; dan
(b) apakah Kementerian bercadang untuk menyemak semula insentif dan keistimewaan yang diberikan kepada para anggota.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan status dan di peringkat manakah kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah yang telah diperuntukkan sebanyak RM35 juta daripada Kementerian disalurkan untuk menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada penduduk-penduduk di dalam kawasan tanggungjawab loji tersebut.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha bagi mengelakkan keciciran pelajaran kanak-kanak luar bandar termasuk kawasan Orang Asli. Ada terdapat perancangan Kerajaan untuk memperbanyakkan Asrama Desa di sekolah rendah terbabit.
Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [ Jerantut ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-
(a) apakah langkah Kementerian dalam memastikan silibus sekolah swasta serta vernakular kekal relevan terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia; dan
(b) bagaimana sekolah vernakular boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan kaum.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana kerjasama yang dilakukan bersama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam usaha untuk melaksanakan cadangan bagi memasukkan silibus pendidikan Islam secara lebih komprehensif dan praktikal di dalam sistem Tabika KEMAS.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [ Permatang Pauh ] minta Menteri Pendidikan menyatakan senarai SJKT dan SJKC di seluruh negara pada 2022 dan adakah sekolah jenis kebangsaan ini melanggar Perlembagaan negara seperti yang didakwa beberapa pihak serta nyatakan kaedah baru untuk menyatukan perpaduan di kalangan pelajar-pelajar berbilang bangsa kerana telah terbukti sekolah pelbagai aliran ini memecahkan perpaduan di kalangan rakyat.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [ Pokok Sena ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan pelan strategik bagi meningkatkan transparensi urus tadbir Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta anak syarikatnya.
Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [ Setiu ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf digunakan dalam membangunkan projek perumahan.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk membantu golongan pelajar di negara ini yang bergelut dengan masalah kesihatan mental bagi meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya.
Dato’ Azman bin Nasrudin [ Padang Serai ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan Kementerian dalam menangani isu kuarters guru yang terbiar di seluruh negara (terutama di kawasan Parlimen Padang Serai).
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan :-
(a) apakah pihak kementerian bercadang untuk menambah baik Pusat Pembangunan Bola Sepak Akademi Mokhtar Dahari (AMD); dan
(b) jumlah dan kriteria akademi bola sepak yang didaftarkan dibawah Kementerian Belia dan Sukan.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [ Padang Terap ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah sebab harga tiket penerbangan meningkat sehingga lima kali ganda setiap kali musim perayaan dan bagaimana inisiatif kerajaan untuk mengatasi masalah ini.
Tuan Roslan bin Hashim [ Kulim Bandar Baharu ] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan berapa ramai gelandangan khususnya di Lembah Klang ketika ini dan apakah usaha Kementerian untuk mengatasi isu lambakan makanan dan bantuan kepada gelandangan yang dilihat sekadar melepas batuk di tangga.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan status kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) untuk projek Kedah Aerotropolis di Kedah dan jika ianya belum siap, bilakah jangkaan ianya dapat disiapkan.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sekiranya Kementerian mempunyai peruntukan untuk mendirikan dewan-dewan orang ramai di kawasan perumahan yang baru dibina. Jika ada, bagaimanakah peruntukan ini disalurkan.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [ Kuala Krau ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-
(a) bilakah Dasar Pendidikan Digital yang telah dimuktamadkan oleh KPM pada tahun 2022 akan mula dilaksanakan; dan
(b) status pelaksanaan jaringan internet berkelajuan tinggi di sekolah-sekolah seluruh negara yang telah dirangka di bawah inisiatif KPM.Net.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [ Pokok Sena ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan perkembangan terkini kajian kebolehlaksanaan Kedah Aerotropolis oleh Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [ Langkawi ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah pelan dan strategi khusus oleh Kementerian apabila YAB Timbalan Perdana Menteri berjanji bahawa apabila Kerajaan Madani mengambil alih negeri Kedah, maka perkhidmatan feri ke Langkawi akan ditambah sehingga 15 kali sehari selain daripada mendalamkan laut.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan :-
(a) apakah perancangan Kementerian untuk mengawal dan mencegah penyakit ataupun ketagihan kepada perokok- perokok elektronik “vape”; dan
(b) bagaimana bentuk pengawalan terhadapan kandungan nikotin dalam vape agar tidak melebihi dari had yang ditetapkan.
Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah terdapat perancangan terperinci terhadap inisiatif penambahbaikan sistem persekolahan, memandangkan kajian menunjukkan wujud peningkatan interaksi silang antara etnik di Sekolah Wawasan.
Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan menyatakan perkembangan terkini dan perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk Murid-murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Pengangkutan menyatakan mekanisme pihak Kerajaan untuk menangani isu tiket penerbangan mahal ke Sabah dan Sarawak yang ketara semasa musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mewujudkan perjawatan tetap warden daripada kalangan bukan guru.
Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan sejauh manakah status kajian terhadap pindaan Akta Orang Asli 1954 yang telah dijalankan sehingga kini bagi memastikan supaya hak dan kebajikan Orang Asli sentiasa terbela.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah perancangan dan langkah-langkah penambahbaikan Jalan Persekutuan di kawasan Parlimen Bukit Gantang seperti Jalan Persekutuan FT060 Changkat Jering-Batu Hampar, FT001 Butterworth-Ipoh dan FT3146 susur keluar Plaza Tol Kamunting sehingga ke bulatan Kamunting yang rosak teruk akibat kenderaan berat dan tampalan jalan jangka pendek yang membahayakan akibat merekah dan terhakis kerana hujan lebat.
Tuan Zahari bin Kechik [ Jeli ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan sehingga suku pertama bagi tahun 2023 berapa peruntukan yang telah disalurkan kepada KESEDAR mengikut pecahan berikut:-
(a) pembinaan dan menaik taraf jalan-jalan kampung, pembinaan rumah baru PPRT dan baik pulih rumah ; dan
(b) pembangunan keusahawanan.
Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah inisiatif khas atau kursus kemahiran bagi memberdayakan ekonomi warga desa khususnya usahawan muda, dan sejauh manakah program dan bantuan khusus ditawarkan dalam aspek pendigitalan perniagaan termasuk program pendigitalan Usahawan Desa.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [ Pasir Mas ] minta Menteri Kerja Raya menyatakan komitmen Kerajaan Pusat dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban dipikul rakyat selama ini.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [ Pokok Sena ] minta Menteri Kesihatan menyatakan langkah yang telah diambil bagi menangani impak langsung berleluasanya pengamal homoseksual dalam negara sehubungan perlaksanaan projek rintis pemberian ubatan PrEP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [ Rompin ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status Jeti Kargo di Pulau Tioman yang telah siap dibina hampir 15 tahun tetapi masih belum boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















