POCA: KDN, PDRM sedang laksana kajian semula

Dato' Seri Dr Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan kajian semula ke atas Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

- Advertisement -

Ini bagi memastikan cadangan pindaan akta itu adalah teratur dan memenuhi hasrat pemegang taruh serta dalam masa yang sama dapat memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut KDN, beberapa siri bengkel dan sesi mesyuarat telah diadakan oleh pihaknya  yang melibatkan PDRM, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain yang berkaitan bagi meneliti cadangan pindaan akta itu.

KDN menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk meminda Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bagi mengekang kegiatan jenayah terancang terutamanya jenayah komersial yang kini semakin berleluasa.

“Cadangan pindaan akta ini akan diperhalusi terlebih dahulu oleh Pengurusan Tertinggi KDN sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan,” kata KDN. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -