Pencapaian Erdogan menjelang pengundian 28 Mei

Presiden Tayyip Erdogan dan isteri ketika bersama penyokongnya di ibu pejabat Parti AK di Ankara.
- Advertisement -

ANKARA: Turkiye menuju pengundian terakhir selepas Presiden Tayyip Erdogan, mendahului pesaing pembangkangnya, Kemal Kilicdaroglu pada pilihan raya Ahad lalu, tetapi gagal mencapai majoriti untuk melanjutkan pemerintahannya selama 20 tahun di negara anggota NATO itu.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting dalam kerjaya seorang ahli politik yang mengubah Turkiye selama dua dekad, mengemudi masyarakat tradisi sekular ke arah wawasan Islamnya, menjadikan negara itu sebagai kuasa tentera serantau dan menggunakan mahkamah untuk menangani perbezaan pendapat:

- Advertisement -

Mac 1994: Erdogan dipilih sebagai Datuk Bandar Istanbul sebagai sebahagian daripada Parti Kebajikan, diketuai oleh ahli politik Islam, Necmettin Erbakan.

April 1998: Erdogan meletak jawatan sebagai datuk bandar selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya kerana menghasut diskriminasi agama berhubung puisi dibacanya pada 1997 yang membandingkan masjid dan berek, menara dan bayonet serta mereka yang setia kepada tentera. Beliau dipenjara antara Mac hingga Julai 1999.

Ogos 2001: Beliau menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan atau Parti AK (AKP) dan dipilih sebagai pengerusi.

November 2002: AKP memenangi pilihan raya dengan hampir 35 peratus undi selepas kemerosotan ekonomi terburuk sejak 1970-an, berjanji untuk mengatasi salah urus dan kemelesetan masa lalu. Mengikut undang-undang, Erdogan dilarang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kerana sabitan mahkamah sebelum ini. Namun, keputusan itu dibatalkan pada Disember.

Mei 2003: Erdogan menjadi Perdana Menteri, memulakan dekad pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan peningkatan taraf hidup didorong oleh ledakan infrastruktur dan pelaburan asing. Erdogan melawat ibu negara Barat untuk mempromosikan dasarnya dan usaha Turkiye menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Oktober 2007: Dalam satu pungutan suara, penduduk Turkiye meluluskan perubahan Perlembagaan untuk membenarkan Presiden yang ketika itu hanya memainkan peranan simbolik dipilih secara terbuka.

Februari 2008: Parlimen meluluskan pindaan yang dirangka oleh AKP dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP) yang menarik balik larangan memakai tudung kepala di kampus universiti. Bulan berikutnya, Mahkamah Perlembagaan yang mendengar kes berhubung pemisahan antara agama dan negara, membuat keputusan menentang AKP, selain melarang Erdogan dan berpuluh-puluh ahli parti itu terbabit dalam politik selama lima tahun.

September 2010: Dalam satu lagi referendum, penduduk Turkiye meluluskan pindaan kehakiman dan ekonomi yang diperjuangkan Erdogan untuk menyelaraskan Perlembagaan dengan piawaian EU walaupun penyertaan dalam EU belum diluluskan berikutan beberapa isu, termasuk Cyprus yang diceroboh Turkiye pada 1974.

Mei 2013: Bantahan terhadap rancangan Erdogan untuk membangunkan semula Taman Gezi di Istanbul, berubah menjadi demonstrasi di seluruh negara. Pengkritik mendakwanya sebagai terlalu berkuasa, manakala Erdogan menyifatkan penunjuk perasaan sebagai samseng.

Disember 2013: Erdogan menghadapi siasatan rasuah melibatkan pegawai kanan, anggota Kabinet dan ketua sebuah bank milik kerajaan. Beliau menyifatkan siasatan itu sebagai “rampasan kuasa kehakiman” yang dianjurkan oleh Fethullah Gulen, seorang ulama berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjadi sekutu sebelum perebutan kuasa yang menyebabkan perpecahan.

Ogos 2014: Peraturan AKP menghalangnya bertanding untuk penggal keempat berturut-turut sebagai Perdana Menteri, Erdogan pada Ogos memenangi pilihan raya Presiden pertama Turkiye dan meminta Perlembagaan baharu untuk meningkatkan kuasa ketua negara.

Jun 2015: Pada peringkat pertama, AKP gagal mencapai majoriti Parlimen dalam pilihan raya. Namun selepas parti gagal membentuk gabungan, beliau memperoleh semula majoriti pada pilihan raya mengejut November.

Julai 2016: Tentera menggunakan kereta kebal dan helikopter, menyerang bangunan negara dan Parlimen, meragut lebih 250 nyawa dalam percubaan rampasan kuasa yang gagal. Erdogan bertahan dan berkata kejadian itu didalangi oleh rangkaian Gulen. Ini membawa kepada penangkapan meluas yang didakwa sebagai anggota rangkaian dalam tentera, sektor swasta dan awam. Kumpulan hak asasi manusia dan sekutu Barat membangkitkan kebimbangan bahawa Erdogan menggunakan cubaan rampasan kuasa sebagai alasan untuk menghalang perbezaan pandangan.

Ogos 2016: Erdogan membenarkan serangan tentera terhadap Syria, pencerobohan besar pertama Turkiye ke negara lain dalam beberapa dekad.

Penyokong Parti AK yang dipimpin Tayyip Erdogan dalam satu perhimpunan di Istanbul. – REUTERS

April 2017: Satu referendum meluluskan sistem presiden eksekutif, memberikan kuasa menyeluruh kepada jawatan Presiden. Erdogan berkempen keras untuk perubahan yang akan mengurangkan apa yang disebutnya halangan dalam demokrasi berparlimen.

Jun 2018: Erdogan memenangi pilihan raya Presiden yang diadakan secara mengejut. AKP dan parti sekutu, MHP memperoleh majoriti di Parlimen.

Ogos 2018: Siri krisis ekonomi dan susut nilai mata wang Lira yang mendadak bermula dengan krisis mata wang yang dicetuskan oleh ketegangan memuncak dengan AS dan negara Barat lain, serta kebimbangan terhadap pandangan ekonomi dan pengaruh Erdogan yang berbeza terhadap dasar monetari.

Mac 2019: Pilihan raya perbandaran seluruh negara memberikan kekalahan pilihan raya pertama Erdogan dalam hampir dua dekad. Calon pakatan pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti IYI mengalahkan calon datuk bandar AKP di bandar seperti Ankara dan Istanbul.

Februari 2020: Turkiye dan Rusia berada di ambang konfrontasi selepas askar Turkiye terbunuh dalam serangan udara Rusia di wilayah Idlib, Syria. Berang dengan apa yang dilihatnya sebagai kekurangan sokongan Barat dan kebimbangan terhadap satu lagi gelombang pelarian Syria, Ankara menyatakan tidak lagi akan menghalang pelarian menuju ke Eropah, walaupun melalui perjanjian 2016, Turkiye bersetuju mengekalkan pendatang di wilayahnya.

Disember 2020: AS mengenakan sekatan ke atas Turkiye dan industri pertahanan berhubung pembelian sistem pertahanan udara S-400 Rusia oleh Ankara, mendorong hubungan kedua-dua negara ke tahap rendah.

2021: Turkiye mula membaiki hubungan serantau yang tegang termasuk dengan Armenia, Israel, Mesir dan Arab Saudi. Ia juga meningkatkan jualan dron canggih ke Ukraine dan negara lain.

Disember 2021: Ekonomi mengalami krisis mata wang yang mendalam berikutan beberapa siri pemotongan kadar faedah. Lira mencecah paras terendah sepanjang masa, inflasi melonjak ke paras tertinggi semasa pemerintahan Erdogan dan sokongan terhadapnya merosot.

Julai 2022: Turkiye sebagai perantara bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membantu mendapatkan perjanjian yang membenarkan eksport bijirin Ukraine disambung semula, lima bulan selepas pencerobohan Rusia bermula. Peranan Erdogan dilihat penting kerana hubungannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Februari 2023: Turkiye mengalami gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah moden dengan lebih 50,000 orang terbunuh di tenggara negara itu. Penduduk di zon bencana mengadu tindakan pihak berkuasa yang lembap, terutama pada hari-hari pertama, menyebabkan kritikan terhadap kerajaan.

Erdogan mengakui tindakan kerajaan sepatutnya lebih pantas dan meminta maaf terhadap kekurangan yang berlaku pada peringkat awal gempa.

Mei 2023: Turkiye mengundi dalam pilihan raya yang menjadi persaingan sengit antara Erdogan dan pencabar utamanya – Kemal Kilicdaroglu. Walaupun popularitinya terjejas akibat krisis kos sara hidup, Erdogan memenangi lebih banyak undian berbanding pesaingnya, tetapi tidak mencapai ambang 50 peratus yang diperlukan untuk menang pada pusingan pertama, sekali gus menyambung pusingan kedua pada 28 Mei. – REUTERS

- Advertisement -