Bantah penganjuran konsert Coldplay

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius penganjuran konsert dari kumpulan rock Coldplay.

Penganjuran konsert ini jelas menjadi duri dalam daging bagi meracuni pemikiran dan budaya rakyat Malaysia yang jelas menyokong kumpulan LGBT.

DPPNT tidak menolak hiburan, tetapi kehadiran kumpulan Coldplay ini mempunyai mudarat yang lebih besar kepada anak bangsa.

Meskipun kumpulan ini telah memberi tajaan mesin perangkap sampah di sungai bagi membersihkan alam sekitar, tindakan membenarkan budaya hiburan melampau ini akan menjadi bom jangka kepada negara kita khususnya buat anak muda yang jelas akan mengotorkan pemikiran anak muda dengan budaya hedonisme.

DPPNT juga ingin meluahkan rasa kekecewaan terhadap sikap kepimpinan utama negara yang mengalu-alukan kehadiran kumpulan rock ini ke Malaysia tanpa mempedulikan masalah yang dihadapi oleh rakyat bagi menghadapi tekanan ekonomi semasa.

Justeru itu, DPPNT menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya pemuda Terengganu untuk bersama-sama menolak kehadiran kumpulan ini sekali gus menuntut pembatalan konsert ini daripada kerajaan yang menganggap diri mereka MADANI.

USTAZ HAMDI HARUN
Naib Ketua Pemuda dan
Ketua Lajnah Dakwah,
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -