Kalimah Allah: Jangan gugat tonggak agama

- Advertisement -

BERHUBUNG posting yang diviralkan di media sosial bahawa Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan mereka dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill iaitu suatu kes di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan-Islam dalam agama mereka.

Berhubung dengan perkara tersebut di atas, maka dengan ini, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengeluarkan kenyataan sepertimana berikut:

Sekiranya perkara yang diviralkan tersebut benar, PGSM melahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa pihak.

Kerajaan Malaysia memberikan penjelasan penuh berhubung dengan tindakan penarikan balik rayuan oleh pihak kerajaan itu, kerana ia secara langsung akan menjejaskan maslahah dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.

PGSM berharap pihak kerajaan dapat meneliti semula perkara tersebut, serta meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara, dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan segala aspek, khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.

PGSM berharap pihak kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan.

PGSM berpandangan bahawa tindakan menarik balik rayuan tersebut boleh menggugat tonggak dasar pertama; kedua dan keempat iaitu ‘keMampanan’; ‘kesejAhteraan’ dan ‘hormAt’, kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan yang dibuat oleh kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri-negeri khususnya undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh DYMM Sultan Negeri-negeri, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa DYMM Sultan Negeri-negeri.

PGSM juga berharap pihak kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

Sekian, untuk siaran.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) – HARAKAHDAILY 16/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -