
PADA Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini saya telah berjumpa dengan seorang sahabat yang menderita akibat penyakit kencing manis (diabetes). Ketika bulan Ramadhan yang lepas, dia telah dimasukkan ke hospital untuk tempoh yang agak lama. Sebahagian dari kakinya terpaksa dipotong untuk menyelamatkan nyawa beliau. Walaupun kaki itu penting untuk meneruskan kehidupan tetapi nyawa itu lebih penting. Doktor terpaksa memotongnya untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Begitu juga di dalam hidup di mana kadang-kala kita perlu membuat pengorbanan untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Bagi mereka yang tidak memahami keadaan yang sebenar, sudah tentu agak payah untuk memberi kefahaman kenapa pengorbanan itu perlu dilakukan. Seperti keputusan doktor untuk memotong kaki sahabat saya itu kelihatan kejam bagi mereka yang tidak faham. Sudah tentu bukan satu tugas yang mudah untuk meyakinkan sahabat saya dan keluarga beliau bahawa kaki itu mesti dipotong.
Perkara yang sama juga satu perkara biasa di dalam politik. Bukan sahaja pengorbanan itu perlu untuk mengelakkan kemudaratan atau kerugian yang besar malah pengorbanan itu amat perlu untuk meraih keuntungan yang lebih besar. Bezanya parti politik dari kawan saya yang kehilangan kaki adalah lebih ramai yang perlu diyakinkan dan bukan sekadar isteri, anak-anak atau saudara-mara terdekat. Parti politik pasti memiliki bilangan ahli-ahli yang begitu ramai. Sekiranya ahli-ahli tidak dididik untuk menerima keputusan pimpinan maka sudah tentu keadaan akan menjadi haru biru. Malah musuh-musuh politik akan cuba mengambil kesempatan.
Baru-baru ini saya terjumpa satu video lama di dalam YouTube mengenai satu forum di antara kerajaan dan pembangkang di Singapura pada tahun 80-an. Di antara yang mewakili kerajaan adalah Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan bakal Perdana Menteri Goh Chok Tong daripada People’s Action Party (PAP). Turut kelihatan adalah Ahmad Mattar seorang Ahli Parlimen Melayu juga dari PAP. Sementara di antara yang mewakili pembangkang adalah Ahli Parlimen Chiam See Tong daripada Singapore Democratic Party (SDP) dan Jufrie Mahmood yang beberapa kali menjadi calon Parlimen sama ada untuk SDP atau Workers’ Party (WP).
Di dalam ucapan beliau, Lee Kuan Yew berkata PAP terpaksa meletakkan calon-calon Melayu di kawasan-kawasan majoriti Cina. Beliau melakukannya walaupun mendapat aduan dari pengundi-pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan Ahli Parlimen Melayu yang menang. Mungkin terdapat perbezaan budaya dan bahasa. Pada mulanya penyelesaian PAP adalah dengan menggantikan Ahli-ahli Parlimen tersebut dengan Ahli Parlimen Melayu yang lain tetapi selepas setahun, masih terdapat pengundi yang tetap mahu Ahli Parlimen Cina. Akhirnya mulai 1988, Singapura memperkenalkan Group Representation Constituency (GRC) di mana satu pasukan calon akan bertanding dan bukan individu. Pasukan ini terdiri dari calon-calon dari pelbagai kaum termasuk dari kaum minoriti seperti Melayu atau India.
Kita boleh memahami kenapa PAP membuat pengorbanan tersebut. Pemerintah Singapura telah membina flat-flat HDB (Housing Development Board) dengan menggantikan kampung-kampung Melayu sehingga tidak ada kawasan Parlimen yang memiliki majoriti pengundi Melayu. Namun calon-calon Melayu adalah penting untuk PAP yang mahu memberi persepsi bahawa mereka mewakili semua kaum. Pada tahun-tahun 60-an selepas berpisah dari Malaysia dan tahun-tahun 70-an, pembangkang seperti WP, Barisan Sosialis (BS) serta Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) adalah lemah dan tidak mungkin memenangi mana-mana kerusi Parlimen namun representasi semua kaum amat penting bagi pemerintah republik itu.
Singapura adalah sebuah negara yang kecil walaupun penduduknya ramai. Mungkin lebih mudah untuk mendiang Lee Kuan Yew atau mana-mana Setiausaha Agung PAP menguasai cawangan-cawangan atau ahli-ahli mereka. Tetapi Malaysia adalah lebih luas dan terdapat banyak perbezaan di antara satu negeri dan satu negeri yang lain. Justeru di Malaysia adalah lebih mencabar. Masalahnya adalah jika terdapat pimpinan atau ahli yang hanya dapat melihat suasana di negeri atau daerah masing-masing dan bukan suasana negara secara keseluruhan. Walau bagaimanapun di dalam politik hari ini, satu perkembangan di satu negeri malah satu daerah akan memberi kesan kepada senario politik di seluruh negara. Malah perkembangan di peringkat kawasan Parlimen atau DUN sekalipun berupaya memberi kesan kepada peringkat nasional. Hari ini bukan masanya untuk membuat keputusan yang terburu-buru.
Kita memerlukan pimpinan dan ahli-ahli yang bukan sahaja dapat memahami suasana di hadapan mata mereka. Tidak memadai mereka hanya memahami suasana dan keperluan di negeri mereka, kawasan Parlimen mereka atau DUN mereka sahaja. Mereka perlu berupaya memandang lebih luas dan lebih jauh. Sama ada yang melibatkan isu-isu semasa atau kerusi-kerusi untuk ditandingi, mereka perlu terbuka dan perlu sensitif kepada keperluan pada peringkat yang lebih tinggi. Kita berada di dalam era dunia tanpa sempadan. Media sosial mempercepatkan penyebaran maklumat dan mendekatkan kita semua. Sebarang tindakan sama ada bijak atau bodoh tidak dapat disembunyikan. Tidak boleh lagi berpendirian, ‘Kami di sini ok aje’ kerana setiap perkembangan itu berkait-kait. Politik ‘dalam gua’ itu tidak lagi relevan.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat
9 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 9/5/2023











