Anak Perlis julang nama Malaysia

- Advertisement -

KANGAR: Penampilan kali pertama atlet kelahiran Perlis dalam sukan tempur tuan rumah, kun khmer pada Sukan SEA 2023 di Kemboja membuahkan hasil apabila Athachai Saiphawat Kiang menghadiahkan pingat gangsa, Sabtu lepas.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau kerana berjaya meraih pingat sungguhpun kali pertama beraksi.

- Advertisement -

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kepada Athachai Saiphawat Kiang atas kejayaannya memenangi pingat gangsa dalam sukan Kun Khmer di SEA Games 2023.

“Walaupun kali pertama membuat penampilan, atlet anak kelahiran Perlis ini telah berjaya membuktikan kemampuan dengan meraih pingat.

“Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada banyak atlet lain untuk mengikut jejak langkahnya dan mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka minati. InsyaAllah,” katanya.

Atlet keturunan Thailand ini tidak kekok beraksi di hadapan ratusan penyokong tuan rumah di Kompleks Sukan Morodok dengan menampilkan gerakan menarik dalam acara tarian Kun Kruk kategori 54 kilogram.

Peserta tuan rumah Meng Hong Kan mengungguli acara berkenaan sementara atlet Vietnam, Khamlar Samavong membawa pulang pingat perak.

Kun khmer adalah sukan tradisi masyarakat Kemboja yang mirip kepada seni mempertahankan diri muay thai dengan menawarkan keseluruhan 19 pingat emas pada temasya kali ini. – HARAKAHDAILY 8/5/2023

- Advertisement -