
KEDENGARAN rungutan daripada pengusaha ikan sangkar yang majoritinya daripada kaum Tionghua. Banyak sekali ternakan ikan sangkar berhampiran Jambatan Sultan Abd Halim Muadzam Shah (Jambatan kedua) yang kita boleh lihat ketika melalui jambatan tersebut.
Semuanya bakal menghadapi risiko jika berlaku penambakan tiga pulau di selatan Pulau Pinang. Mereka boleh gulung tikar. Kekeruhan air laut bakal mematikan ternakan mereka.
Hal ini pernah terjadi kepada pengusaha ternakan ikan sangkar di Teluk Bahang iaitu kematian ikan dan juga berlaku kematian ikan di pesisiran pantai bermula dari Batu feringgi sehinggalah Teluk Bahang akibat pembuangan secara haram sisa pengorekkan Pelabuhan Pulau Pinang dahulu.
Kapal yang membawa selut yang dikorek itu memuntahkan sisa itu sedikit-sedikit dalam perjalanan ke tempat pembuangan yang ditetapkan. Mereka curi-curi buang. Saya lihat sendiri ikan mati bergelimpangan di permukaan laut sewaktu membuat tinjauan bersama NGO Jaring.
Itu baru pencemaran kecil, jika pencemaran berskala besar sudah tentu bakal memusnahkan ikan di lokasi yang besar pula. Sudah pasti ikan ternakanlah awal-awal akan terkesan dan tidak dapat melarikan diri dari pencemaran yang dibawa oleh arus laut ketika pasang dan surutnya.
Ini bermakna pengusaha restoran seafood yang menawarkan menu ikan bakar, steam, ikan tiga rasa, gulai dan sebagainya akan menghadapi krisis bekalan ikan siakap, jenahak, ikan merah dan lain-lainnya.
Ikan dari laut sangat berbeza dari ikan kolam didaratan. Masyarakat dan rakyat Pulau Pinang akan menghadapi kenaikan harga berganda dan bakal menikmati ikan kolam air tawar yang tidak enak.
Begitu juga peniaga ikan di pasar-pasar seluruh Pulau Pinang akan juga menghadapi krisis bekalan ikan. Apabila peniaga tiada bekalan, apakah pengguna, peniaga dan rakyat Pulau Pinang tidak terkesan?
Itulah musibah atau kesan yang akan dihadapi oleh seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira bangsa. Kesan ini tidak sedikit, bahkan boleh menjejaskan kitaran ekonomi di negeri Pulau Pinang.
Oleh itu rakyat Pulau Pinang perlu sedar tentang bencana atau musibah ini dan jalan keluarnya ialah menurunkan Kerajaan DAP-PH yang sangat rakus untuk melaksanakan penambakan tiga pulau itu.
USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 8/5/2023
#penangtrykalih











