
Skuad Malaysia Bawah 22 tahun bermula dengan langkah kanan selepas membelasah Laos 5-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Sukan SEA Kemboja di Stadium Visakha di Phnom Penh, malam tadi.
Seawal minit ke-4, Harimau Muda menjaringkan gol pertama menerusi Ubaidullah Shamsul Fazili.
Nasib Ubaidullah yang menjadi hero berubah malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-21. Namun, jaringan sendiri pemain negara seperti berjangkit kepada pemain Laos apabila tujuh minit kemudian, giliran Anantaza Siphongphan pula menjaringkan gol ke gawang sendiri.
Malaysia mendapat gol ketiga pada minit ke-74 apabila pemain tengah gantian, Syahir Bashah menamatkan aksi cemerlang pemain gantian, Fergus Tierney.
Skuad negara meneruskan aksi cemerlang apabila seorang lagi pemain gantian, Najmudin Akmal Kamal Akmal, menjaringkan gol keempat pada minit ke-92.


Malaysia melengkapkan kekalahan besar Laos apabila pemain lawan, Sonexay Phanthaxay, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-94.
Perlawanan seterusnya Harimau Muda yang lebih getir ialah menentang Thailand di Stadium Visakha pada Sabtu ini (6 Mei). – HARAKAHDAILY 4/5/2023











