
PAS mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di seluruh negara yang diraikan bagi memperingati perjalanan hidup pengasas ajaran itu, iaitu Siddharta Gautama Buddha, pada peringkat-peringkat kelahiran, pencapaian pencerahan dan juga kematiannya.
Sama seperti banyak tradisi kepercayaan dan agama lain, agama Buddha berkembang daripada usaha, pemerhatian dan pengalaman seorang individu dan sekumpulan pengikutnya untuk mencari jalan keluar daripada kesengsaraan hidup manusia.
“Tidak melakukan kejahatan/keburukan, menyuburkan kebaikan dan membersihkan hati” adalah ajaran teras agama ini sebagai jalan bagi mencapai kebijaksanaan, kasih sayang dan akhirnya pembebasan daripada kesengsaraan itu sendiri.
Konsep “ahimsa” atau tidak menyebabkan kerosakan dan kecederaan terhadap makhluk, termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dunia amnya dalam ajaran Buddha pula sangat berkait rapat dengan pencapaian kesedaran dan sifat kasih sayang yang merupakan nilai yang dipandang tinggi.
PAS, sebagai sebuah parti Islam, beranggapan nilai-nilai murni seperti ini banyak yang selari dengan ajaran Islam dan jika diamalkan secara merata sangat membantu usaha dan cita-cita untuk membentuk kehidupan bersama yang lebih baik dan seterusnya melahirkan sebuah negara yang lebih unggul dan cemerlang.
PAS berharap sambutan Hari Wesak pada tahun ini berjalan dengan lancar dan selamat dalam kalangan penganut ajaran Buddha di negara ini dan ia turut memperkukuh kehidupan beragama di kalangan rakyat pelbagai kepercayaan.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 4 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 4/5/2023











