
KOTA BHARU: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kelantan melancarkan Skuad Bantu bagi memberi khidmat kepada pengguna jalan raya, terutama perantau yang mengalami kerosakan kenderaan ketika pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Pengerusi MKJR, Hilmi Abdullah berkata, skuad berkenaan beroperasi petang semalam sehingga pagi Aidilfitri, iaitu selama empat hari.
Katanya, kawasan operasi skuad berkenaan bermula dari Gua Musang hingga ke laluan utama di Kampung Telekong, Kuala Krai.
“Skuad Bantu diwujudkan hasil gabungan tujuh NGO yang berkhidmat secara sukarela bagi memberi perkhidmatan kepada pengguna jalan raya yang berhadapan pelbagai kesukaran.

“Waktu operasi pula sebelah petang memandangkan ketika itu kebanyakan bengkel telah tutup sehingga pemilik kenderaan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan mekanik,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Hilmi merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri di Kampung Pahi, Jalan Kuala Krai-Gua Musang. – HARAKAHDAILY 20/4/2023











