
Keputusan seri 1-1 dalam perlawanan kedua suku akhir di Allianz Arena, sudah mencukupi untuk Manchester City mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mengatasi jaguh Jerman dengan agregat 4-1.
Penyerang City, Erling Haaland, yang terlepas sepakan penalti pada separuh masa pertama, menebus kehampaan itu pada minit ke-57 dengan menjaringkan gol ke-48 dalam semua pertandingan musim ini sebelum Bayern menyamakan kedudukan melalui penalti Joshua Kimmich pada minit ke-83.
City kini tidak tewas dalam 15 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan. Pasukan Pep Guardiola yang kalah dalam final 2021 akan menentang penyandang juara, Real Madrid di peringkat separuh akhir.
Ini juga merupakan kali ke-10 Guardiola mara ke separuh akhir sebagai jurulatih, suatu rekod baharu.
“Saya sangat gembira berada di separuh akhir buat kali tiga berturut-turut (bersama City). Saya tidak boleh menjangkakan (Bayern) secara berbeza, anda melihat betapa bagusnya mereka.
“Pada separuh masa kedua, kami menyesuaikan beberapa perkara dan sejak minit pertama pada separuh masa kedua, kami mempunyai lebih banyak kawalan,” kata Guardiola yang melatih Bayern antara 2013 hingga 2016.
Bayern berdepan tugas berat selepas tewas 3-0 pada perlawanan pertama suku akhir, tetapi bermula dengan mantap.
Kingsley Coman memberikan ancaman berterusan di bahagian sayap, membuatkan pertahanan City sibuk. Peluang terbesar tuan rumah hadir pada minit ke-17 apabila Leroy Sane mengumpan hantaran Jamal Musiala, tetapi rembatan tersasar ketika hanya berdepan penjaga gol Ederson untuk ditewaskan.
Bayern yang tersingkir dari Piala Jerman dua minggu lalu selepas ketibaan jurulatih, Thomas Tuchel, berehat seminit kemudian apabila pemain pertahanan Dayot Upamecano, dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas Haaland.
Namun kad merah itu dibatalkan kerana semakan menggunakan VAR, mendapati Haaland berada dalam keadaan ofsaid.
Upamecano yang dikritik hebat kerana kesilapannya membawa kepada gol kedua City dalam perlawanan pertama, kurang bernasib baik apabila dihukum kerana bola terkena tangan.
Namun Haaland yang mengambil sepakan penalti menghantar bola tinggi melepasi palang, kesilapan yang jarang berlaku untuk penyerang Norway musim ini.
Gandingan baik bersama Kevin De Bruyne, membolehkan Haaland melepasi Upamecano, sebelum menewaskan penjaga gol Yann Sommer, sekali gus mencipta rekod baharu apabila hanya memerlukan 27 perlawanan untuk mencapai 35 gol dalam pertandingan kelab utama Eropah.
Gol City juga adalah yang pertama Bayern dibolosi di tempat sendiri dalam keseluruhan pertandingan musim ini dan tuan rumah, yang hanya berbaki gelaran Bundesliga, mendapat gol penyamaan apabila Kimmich menyempurnakan sepakan penalti.
“Sungguh menjengkelkan kami tidak mendahului dengan semua peluang yang ada. Saya ingin melihat bagaimana perlawanan ini jika kami berjaya menjadikan kedudukan 1-0 pada separuh masa pertama,” kata Kimmich
Malam mengecewakan buat Bayern belum berakhir. Kali ini, Tuchel pula dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-86. – REUTERS











