Petani tempatan gulung tikar kerajaan utama sayur import

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ekoran persaingan sayur-sayuran yang diimport dari Thailand dan China menyebabkan pengusaha pertanian di Tanah Tinggi Lojing dan Cameron Highlands terpaksa membuang kira-kira 50 tan hasil pertanian setiap hari.

- Advertisement -

Malah mereka turut berhadapan kejatuhan mendadak harga hasil pertanian sejak tiga bulan lepas. Ia memberi kesan terhadap kos operasi, selain kenaikan harga input pertanian termasuk baja.

Bendahari Persatuan Pengusaha Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing, Mohd Rahimi Ibrahim berkata, lebih kurang 1,000 pengusaha pertanian di kawasan itu termasuk Cameron Highlands terjejas dengan kejatuhan harga sayur-sayuran.

Katanya, jika kerajaan tidak membendung gejala kemasukan sayur import ramai pengusaha tempatan bakal menutup operasi.

Menurutnya agensi kerajaan terutamanya Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diminta datang meninjau situasi di kawasan pertanian beriklim sederhana sejuk itu.

“Harga timun hijau atau timun Jepun sekarang 30 sen satu kilogram dan tomato gred A pun jatuh RM1 bagi setiap kilogram.

“Dalam tempoh dua tiga bulan akan datang sekiranya kerajaan tidak menghentikan kemasukan sayur-sayuran import, petani di sini akan gulung tikar,” katanya di sini.

Kira-kira tiga tahun lalu mereka terpaksa membuang hasil pertanian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dan sekarang berulang lagi kejadian serupa kerana lambakan kemasukan sayur-sayuran import dari Thailand dan China.

Seorang pekerja kebun sayur, Karti Muniandy turut meminta kerajaan mengutamakan produk pertanian tempatan kerana lebih terkawal bahan kimia.

Beliau berkata kejatuhan harga sayur-sayuran tempatan berlaku kebelakangan ini kerana kerajaan tidak serius untuk membendung kemasukan produk pertanian yang diimport.

“Kerajaan nampaknya lebih penting utamakan produk dari Thailand dan China, sedangkan hasil pertanian import dipercayai ada bahan kimia tinggi.

“Sedangkan sayur dari Lojing dan Cameron Highlands lebih terkawal penggunaan bahan kimia sehingga boleh dieksport ke Singapura,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -