Nelayan terdampar di pulau terpencil diselamatkan

- Advertisement -

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia menyelamatkan 11 nelayan Indonesia selepas enam hari tanpa makanan dan air terdampar di pulau terpencil Lautan Hindi.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, mereka terdampar di situ selepas kapal karam ketika dilanda taufan. Bagaimanapun, lapan nelayan lain masih hilang.

- Advertisement -

Mangsa diselamatkan pada malam Isnin dari Pulau Bedwell, kira-kira 313 kilometer ke barat pantai bandar Broome di Australia Barat.

Sebuah pesawat keselamatan sempadan Australia ternampak mereka ketika rondaan pengawasan selepas Taufan Ilsa melanda barat laut Australia.

Jurucakap AMSA berkata, nelayan berkenaan kemudian dipindahkan ke Broome dan diberi rawatan perubatan yang diperlukan.

Nelayan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dua kapal terperangkap dalam taufan itu, kapal pertama dengan 10 anak kapal, manakala satu lagi dengan sembilan anak kapal. Kapal pertama yang mempunyai 10 anak kapal terdampar di Pulau Bedwell, manakala kapal kedua karam.

Bagaimanapun, seorang anak kapal dari kapal yang hilang terapung selama 30 jam di lautan itu sebelum dihanyutkan ke Pulau Bedwell. – REUTERS

- Advertisement -