
TASEK GELUGOR: PAS Negeri Pulau Pinang sedang mengumpulkan dana bagi pembinaan Kompleks PAS (KomPAS) Pulau Pinang bagi menggantikan bangunan pentadbirannya yang telah uzur di Pongsu Seribu, di sini.
Pengarah Pembangunan KomPAS, Ustaz Hanif Haron, 37, berkata, fasa pertama pembinaan yang dianggar akan menelan belanja RM2.4 juta telah bermula selepas dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff pada 17 Mac lepas.
Menurut beliau, pada peringkat awal pihaknya membuat kutipan wakaf bagi menanam batang cerucuk (piling) yang diperlukan sebanyak 261 batang.

“Kita telah berjaya kutip sebanyak 130 batang cerucuk, dan kita berbaki 131 cerucuk lagi untuk lengkapkan misi wakaf piling.
“Semua jumlah kos diperlukan untuk piling ialah RM186,000. Kita berjaya kutip setakat ini lebih kurang dalam RM76,000,” ujarnya.
Beliau ditemui Harakahdaily selepas Majlis Iftar Perdana sempena Kutipan Dana Kompleks PAS Negeri Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang, di sini pada Ahad.

Katanya lagi, kos pembangunan mencecah sehingga RM7 juta bagi menyiapkan keseluruhan bangunan termasuk pembinaan Wisma PASTI.
Jelasnya, beliau optimis fasa pertama boleh disiapkan dalam tempoh 18 bulan sekiranya tidak berdepan sebarang masalah luar jangka.
Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria serta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden serta Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhamad, selain Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dan ramai lagi.
Penganjuran majlis berjaya mengumpulkan sumbangan hampir RM70,000 selain turut diterima daripada pelbagai pihak yang berhasrat melihat pembinaan KomPAS Negeri Pulau Pinang dapat direalisasikan selepas tertunda sejak lebih 30 tahun lalu.
“Dalam program kita hari ini kita mungkin jangkakan kutipan kita sebanyak RM70,000 melalui program makan malam inilah.
“Jadi insha Allah kita teruskan lagi program-program macam ini untuk merancakkan lagi ahli-ahli kita untuk berwakaf khususnya untuk siapkan bahagian piling.
“Dan kemudian sekarang ini dalam proses untuk buat submission untuk pelan pembangunan kita yang akan diselesaikan oleh pihak arkitek yang telah dilantik dan insha Allah dalam tempoh enam bulan kita akan selesailah urusan-urusan tersebut.
“Kita sendiri pun dah buat langkah yang tersusunlah cuma kos akan meningkatlah. Kos yang dianggarkan 5 ke 7 peratus daripada harga projek untuk konsultan sahaja, lebih kurang RM125,000,” katanya.
KomPAS Negeri Pulau Pinang akan didirikan di atas tanah wakaf seluas 1.4 ekar untuk fasa pertama pembinaan bangunan empat tingkat sebagai bangunan pentadbiran PAS negeri yang lengkap dengan kemudahan pejabat pengurusan, pejabat Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
Malah fasa kedua pula akan dibangunkan dua dewan secara berkembar di mana satu daripadanya sebagai dewan serbaguna yang boleh disewa untuk menjana pendapatan PAS Negeri dan dilengkapi dengan tempat meletak kenderaan untuk kemudahan pengunjung di KomPAS, manakala fasa ketiga untuk pembinaan bangunan PASTI.
Bagi mereka yang ingin menginfak dan memberi sumbangan boleh klik https://infaqpay.my/go/komplekspendidikanislampongsuseribu atau sumbang ke Bank Islam 07043011031303 (Kompleks PAS Pulau Pinang).
Kata Hanif lagi, dalam usaha memastikan kelancaran projek pembangunan KomPAS, pihaknya berdepan dengan ‘gangguan’ daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kami dikompaun pihak berkuasa tempatan kerana tidak mempunyai pelan Kebenaran Merancang (KM). Kami terima notis amaran tetapi kita beri kerjasama penuh dengan segera membayar kompaun.
“Sepatutnya kompaun RM30,000 tetapi dikurangkan sehingga RM125, selepas itu kita bayar awal, tinggal RM70 sahaja perlu bayar. Tapi itu sikap kitalah iaitu terbuka, kita terima arahan mereka dan kita tidak melawan, kita tidak melangkaui undang-undang,” ujarnya.
Beliau menyifatkan tindakan pihak berkuasa tempatan tersebut mempunyai arahan politik daripada pihak tidak bersefahaman.
Ia berdasarkan tindakan pantas pihak berkuasa tempatan yang segera mengenakan tindakan meskipun terdapat banyak lagi kesalahan pembangunan yang rancak berlaku di Pulau Pinang.
“Memang berlaku kesalahan peraturan yang ditetapkan cuma bila atas tiket politik mereka lebih cepat ambil tindakan untuk hentikan pembangunan kita walaupun di premis tanah kita sendiri.
“Walhal banyak lagi bangunan-bangunan lain, premis-premis yang rumah ibadat khususnya yang tidak patuh pelan menurut undang-undang.
“Walaupun faktor keselamatannya bukan tanah premis sendiri di tepi jalan apa semua, yang terbaru saya dapat maklumat di Seberang Jaya, ada sebuah kuil didirikan betul-betul di atas saliran paip gas Petronas.
“Kalau meletup itu, dia punya radius 1.5 kilometer dan boleh sampai ke Masjid Seberang Jaya tetapi bila sampai hari kejadian dah dibawa backhoe untuk korek, lepas itu YB merekalah duduk depan itu (untuk halang perobohan),” jelasnya. – HARAKAHDAILY 19/4/2023











