Bilik darjah sesak isu utama sistem pendidikan Malaysia

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesesakan bilik darjah merupakan antara isu utama dalam sistem pendidikan di Malaysia kata pengkaji di United Kingdom, Right Dennistoun.

- Advertisement -

Katanya, saiz bilik darjah memainkan peranan utama bagi memastikan pendidikan yang berkualiti tinggi dapat diberi kepada pelajar.

“Mengikut kajian UNICEF, bilik darjah kecil yang hanya menampung tidak lebih daripada 20 pelajar akan dapat meningkatkan prestasi akademik walaupun dalam kalangan pelajar pemulihan.

“Akan tetapi, masalah di Malaysia pula adalah bilik darjah dalam kebanyakan institusi pendidikan mempunyai lebih daripada bilangan tersebut,” katanya yang juga ahli Kelab PAS UK.

Beliau meluahkan perkara itu dalam artikelnya mengenai sistem pendidikan yang bertajuk Dasar Primsma (Policy Prism), turut menyatakan masalah kesesakan bilik darjah memberi kesan yang buruk kepada tenaga pengajar.

“Apabila seorang guru terpaksa mengajar bilangan anak murid yang lebih ramai daripada biasa, ia akan membuat guru tersebut sukar untuk mengenal pasti dan membantu sesetengah murid yang bermasalah,” katanya.

Menurutnya, bilik darjah di kebanyakan institusi pendidikan Malaysia mempunyai 32 pelajar yang jelas melebihi had yang ditetapkan.

Beliau menambah ia berpunca daripada tiga faktor utama iaitu pertambahan bilangan pelajar, kekurangan infrastruktur yang lengkap dan kekangan bilangan tenaga pengajar.

“Jika tiga perkara ini masih belum diselesaikan, sistem pendidikan di Malaysia akan menghadapi pelbagai lagi masalah pada masa akan datang!” jelas beliau.

Beliau mencadangkan kerajaan Malaysia memberi perhatian serius bagi menghadapi masalah tersebut dan perlu diubahusai dengan kerjasama ahli politik dan pelaburan dalam sistem pendidikan itu sendiri.

“Kerajaan Malaysia perlu berinovasi mengamalkan dasar polisi yang betul dalam menyelesaikan masalah kekesakan bilik darjah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -