Berlaku adil kepada pembeli dan penjual

Foto hiasan.
- Advertisement -

SEBAIK memasuki bulan Ramadan maka timbul isu rungutan orang ramai terhadap kualiti makanan yang dijual di pasar-pasar Ramadan. Antara yang tular ialah murtabak hangus, diikuti dengan kes karipap angin yang tak berkesudahan dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

Isu harga jangan cakaplah, memang menjadi buah mulut di media-media sosial. Jika dahulu orang biasa menggelarkan harga yang tinggi tidak masuk akal sebagai ‘harga Yahudi’, tetapi sekarang netizen sudah mula rasa tersilap menyalahkan ‘Yahudi’ dalam hal ini. Sekarang mereka panggil situasi ini sebagai ‘harga Melayu’!

Memang tidak dapat dinafikan memang terdapat sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjual pada harga yang berkeuntungan berlipat kali ganda. Mereka tahu sekarang ini memang musim orang ramai membeli, jadi mereka jual mahal.

Yang terkesan sudah tentulah pengguna yang bukan semuanya berkemampuan. Sudahlah kita semua baru saja pulih daripada kesan ekonomi akibat Covid-19. Ramai lagi yang masih merangkak membina masa depan daripada runtuhan ekonomi lepas.

Namun begitu dalam kita menyalahkan peniaga dalam isu ini, penulis mengajak para pembaca untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pembeli dalam memahami perkara ini. Bukan untuk membela peniaga dan menidakkan rungutan pengguna, namun harus diambil kira juga kesukaran yang dihadapi peniaga.

Kita tidak dapat nafikan iaitu kos bahan mentah memang semakin meningkat pada masa ini yang sangat membebankan peniaga. Mereka terpaksa berkira-kira untuk menjual sesuatu menu dengan mengambil kira kos bahan mentah.

Satu ketika dahulu, semasa penulis membuat tinjauan tentang harga barang, pada masa itu berlaku kenaikan yang sangat tinggi dalam harga keledek. Dalam temubual penulis dengan peniaga kuih mereka terpaksa berhenti sementara membuat dan menjual kuih berasaskan keledek kerana kosnya tidak berbaloi dengan harga yang biasa mereka jual.

Maksudnya, mereka terpaksa memilih salah satu opsyen sama ada menaikkan harga atau tidak menjual produk tersebut. Menaikkan harga adalah opsyen yang paling sukar dilakukan dan boleh membuatkan pelanggan lari dan tidak membeli daripada peniaga itu.

Sekali lagi, kita tidak menafikan wujudnya golongan peniaga yang kejam dan mengambil kesempatan mengambil untung lebih. Namun kita harus juga bertimbang rasa pada peniaga yang jujur tetapi tertekan dengan kenaikan kos bahan mentah.

Baru-baru ini menteri-menteri yang terlibat menzahirkan kekecewaan dengan peniaga makanan yang dikatakan degil tidak mahu menurunkan harga, walau pun harga bahan mentah kata mereka semakin turun.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula telah mengeluarkan kadar inflasi bagi bulan Februari 2023 yang dikatakan kekal pada kadar 3.7 peratus berbanding Januari 2023. Ini bermakna inflasi pada bulan Januari 2023 juga pada kadar 3.7 peratus.

Apabila kita membaca kadar inflasi, sekiranya kadarnya pada sesuatu bulan sama dengan kadar pada bulan lepas itu bukan bermakna tidak berlaku kenaikan harga barang.

Sebagai contoh jika kadar inflasi pada bulan Januari adalah 3.7 dan kadar pada bulan Februari juga 3.7 itu bermaksud berlaku inflasi atau kenaikan barang pada kadar yang sama iaitu 3.7 peratus juga pada bulan Februari.

Sebagai perbandingan, katalah pada bulan Januari kadarnya 3.7 peratus sementara pada bulan Februari pula kadarnya ialah 3.5 peratus, ini pula bukan bermakna harga barang sudah turun, tetapi ia bermakna harga barang pada bulan Februari tetap naik. Cuma kenaikannya lebih rendah daripada kenaikan pada bulan Disember ke bulan Januari. Tetapi tetap ada kenaikan.

Sekiranya tidak berlaku inflasi atau kenaikan harga langsung maka kadarnya ialah kosong peratus. Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa harga barang sudah turun apabila kadar inflasi pada sesuatu bulan sama atau lebih rendah berbanding dengan bulan yang sebelumnya.

Inilah dilema sebenar para peniaga-peniaga terutama peniaga-peniaga makanan di pasar Ramadan. Sekiranya kerajaan hanya tahu ‘memaksa’ mereka menjual pada satu harga yang rendah seperti menu Rahmah hanya akan menimbulkan masalah kepada golongan peniaga.

Rakyat mahu melihat penurunan harga barang yang sebenar-benarnya secara semula jadi. Bukan kerana paksaan. Kerajaan perlu ada formula untuk melakukannya seperti yang mereka dakwa semasa mereka jadi pembangkang dahulu. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -