Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 P.036 K.Terengganu (2)

- Advertisement -

EXCO Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar hadir sebagai saksi ke perbicaraan Petisyen P.036 Parlimen Kuala Terengganu 10 April.

Peguam Responden (PR) menyoal saksi (pertengahan perbicaraan):

Saksi bernama Aizal mengaku beliau mengetahui kehadiran Dato Amzad hanya melalui gambar yang sebelum ini, beliau mengatakan berada dalam dewan dari mula hingga ke akhir. Saksi mendakwa mengingati YB Dato’ Tengku Hassan ada mengatakan supaya mengundi parti ‘bulan’ tetapi bersetuju tiada perkataan yang keluar dari Dato’ jika tidak mengundi ‘bulan’ duit tidak akan diberikan. Dan saksi juga bersetuju yang Exco tidak pernah mengatakan duit itu adalah duit PAS.

Saksi mengatakan yang beliau ada melihat petugas yang memakai pakaian berlogokan PAS. Satu video dimainkan untuk rujukan saksi dan saksi mengenalpasti satu keratan video yang dikatakan sebagai memakai pakaian berlogo PAS. Peguam pempetisyen (PP) membantah kerana video itu hanya ditonton saksi hari ini. Hakim menolak bantahan.

PR meneruskan soalan dan akhirnya mencadangkan tiada logo Parti PAS pada baju petugas. Saksi tidak bersetuju. PR mencadangkan tiada petugas yang memakai kopiah berlogokan PAS, saksi juga tidak bersetuju. Hakim meminta PR supaya berlaku adil kepada saksi yang mana mungkin masa video itu diambil ketika saksi tiada di situ. Saksi juga bersetuju yang beliau tiada bukti bergambar.

Saksi menjawab tidak pasti bila dicadangkan PR yang tiada gambar Datuk Haji Amzad atau sebarang logo parti PAS di gegantung majlis penyerahan itu. Saksi tidak bersetuju dengan PR yang pemberian i-Belia itu bukan pemberian oleh PAS. Saksi juga tidak bersetuju yang sumbangan itu bukan untuk mendorong saksi menyokong PAS.

Peguam pempetisyen (PP) mengambil tempat:

PP bertanyakan saksi ingat tarikh 17 hari bulan ke Permai Inn kerana beliau memberitahu neneknya akan ke sana pada tarikh itu. Saksi juga bersetuju yang syarat penerima ialah anak Terengganu. Saksi berkata lagi ada perbezaan antara kenyataan Dato’ Tengku Hassan dengan kenyataan dalam laman web. Saksi berkata lagi, dengan bantuan wang itu ia mendorong beliau untuk mengundi PAS kerana beliau anak muda yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila ditanya oleh PP adakah dia rasa terdorong.

Saksi mendakwa begitu yakin adanya logo PAS di baju petugas kerana beliau ‘nampak’. Saksi berkata lagi, petugas yang memberikan beliau sampul wang itu yang memakai kopiah berlogokan PAS. Saksi tidak pasti calon PAS hadir atau tidak semasa program. Saksi dilepaskan atas permintaan peguam. Mahkamah berhenti rehat.

Saksi Sepina pertama pempetisyen Exco, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar masuk mengangkat sumpah bagi memberi keterangan, selepas mahkamah disambung.

PP menyoal saksi, bagi mengesahkan menerima sepina. Saksi membaca dokumen keterangan yang disediakan PP. Saksi berkata beliau tidak terlibat dengan organisasi jentera PRU di kawasan atau negeri bila ditanya adakah beliau ada berperanan apa-apa dalam PRU15 lalu. Saksi berkata, oleh kerana beliau tidak diberi tugas, beliau tidak berkempen apa-apa terhadap calon PAS dalam PRU15 lalu.

Satu video Tiktok dimainkan bagi soalan seterusnya. Saksi mengaku hadir dalam majlis penyerahan i-Belia di Permai Inn sebagai Exco yang mewakili Kerajaan Terengganu dan saksi turut berucap. Saksi mengatakan hanya beliau yang berucap ketika majlis itu. Peruntukan dana adalah dari Kerajaan Negeri. Saksi tidak ingat bila Mesyuarat Exco meluluskan peruntukan itu. Antara inti ucapan saksi ialah perkara yang melibatkan kejayaan negeri melalui portfolio beliau.

Saksi sahkan beliau tidak pernah meminta penerima mengundi parti PAS atau ‘bulan’. PP mengatakan sebaliknya dan saksi mengatakan beliau tidak ingat semua ucapannya. Bagaimana agihan wang dilakukan, saksi berkata beliau tidak terlibat dengan urusetia. Tiada logo parti PAS pada sampul pembahagian wang, kata saksi, hanya ada gambar beliau. Saksi tidak tahu apa kandungan di dalam sampul kerana beliau tidak membukanya. Saksi tidak membahagikan semua kepada penerima, dalam video itu hanya gimik serahan untuk beberapa penerima.

Saksi mengatakan simbol ibu jari dan jari telunjuk dirapatkan yang ditunjukkan beliau itu adalah ‘mini love‘ seperti yang viral dengan anak muda sekarang dan bukannya lambang duit seperti yang disangka PP. Saksi tidak tahu kenapa calon PAS hadir dan saksi menyatakan ia adalah program bebas dan terbuka kepada sesiapa untuk hadir dan mengapa calon hadir, mesti ditanya kepada calon sendiri.

Beberapa soalan PP dibantah kerana tidak sesuai oleh PP dan diterima hakim. SUK tidak menghantar sebarang wakil dan program itu diserahkan sepenuhnya kepada sekretariat DUN Ladang. Dengan kehadiran calon yang itu adakah akan memberikan kempen kepada calon? Saksi berkata tidak. 

Soalan yang dikemukakan oleh PP berulang-ulang sampai tiga kali dan soalan dianggap ‘leading’ dan dibantah oleh PR. Bantahan diterima. PP menukar soalan apakah anggapan orang ramai dengan gambar saksi dengan calon. Saksi tegas menjawab, beliau tidak dapat menjawab apa yang dalam fikiran orang.

Tarikh agihan dana menjadi persoalan peguam pempetisyen. Mengapa tarikh agihan dipinda dari 1-31 Oktober kepada 17 November. Satu salinan surat dikemukakan dan dibantah oleh PP kerana surat itu daripada SUK kepada TSIS, bukan kepada Exco dan wakil TSIS akan hadir sebagai saksi. PP kemudiannya mengemukakan satu surat lain yang diakui saksi bahawa beliau belum melihat surat itu. 

Saksi ditanya kenapa gambar beliau ada di sampul agihan. Saksi menjawab ia adalah kebiasaan kerana beliau adalah wakil kerajaan. Saksi juga menyatakan Datuk Haji Amzad tidak berucap dalam majlis itu bila ditanya PP apakah isi kandungan ucapan calon. Soalan PP berkenaan adakah pengundi merasa disogok oleh pemberian itu ditolak oleh hakim. 

Saksi tidak bersetuju dengan cadangan PP bahawa majlis agihan itu menjadi platform bagi calon untuk berkempen. PP selesai menyoal saksi.

PR mengambil tempat menyoal saksi. Setujukah bahawa agihan ini telah diluluskan dalam DUN Terengganu, saksi tidak pasti, tidak ingat, kena rujuk dahulu. Saksi bersetuju wang itu bukan dari parti PAS dan hadir atas kapasiti wakil Kerajaan Negeri. Saksi juga bersetuju petugas-petugas yang bertugas hari itu adalah juga mewakili Kerajaan Negeri. Saksi tidak tidak tahu dengan kenyataan saksi sebelum beliau yang mengatakan petugas-petugas memakai pakaian berlogokan PAS.

Saksi setuju yang Kerajaan Negeri tidak menyediakan baju petugas yang mempunyai logo PAS. Satu foto ditunjukkan yang tiada petugas memakai pakaian berlogokan PAS termasuk para tetamu, saksi bersetuju. Para petugas juga tidak pernah menonjolkan identiti PAS dalam majlis itu kata saksi. Undi parti ‘bulan’ tidak pernah dikatakan oleh saksi ketika memberikan ucapan. Saksi juga menafikan kenyataan saksi sebelum ini yang mendakwa Exco cuba mempengaruhi penerima untuk mengundi PAS dalam ucapan beliau.

Saksi tidak pasti di gambar sampul ada tertulis jawatan beliau sebagai Exco kerana foto yang ada tidak penuh, tetapi ada lambang Kerajaan Terengganu dan saksi memastikan tiada logo PAS di sampul. Saksi juga bersetuju yang Kerajaan Terengganu belum dibubarkan dan Exco mesti menjalankan tugas seperti biasa termasuklah dalam program agihan dana ini. Saksi juga setuju yang program telah dirancang lama sebelum PRU diumumkan. PR selesai dengan soalan.

PP bangun bagi soalan balas seterusnya. Saksi ditanya pula oleh PP apakah isi ucapan saksi ketika itu dan saksi menyatakan perkara pembangunan seluruh negeri termasuk DUN Ladang, aktiviti beliau sebagai Exco dan lain-lain hal rasmi kejayaan. Saksi ditanya lagi buat kesekian kalinya berkenaan sampul dan saksi mengesahkannya lagi. Saksi ditanya lagi adakah logo PAS dan apakah logo yang ada pada sampul, saksi menyatakan tiada logo PAS dan hanya ada jata kerajaan.

Perancangan untuk melaksanakan i-Dana dan bilakah diputuskan tarikh agihan ditanya, saksi menjawab secara detail, beliau tidak ingat, tetapi bersetuju ia sudah dirancang semenjak dahulu. Saksi ditanya lagi pada tarikh bilakah i-Belia ini diagihkan pada tahun-tahun sebelum 2023, saksi tidak ingat tarikh. Saksi tidak ingat dan perlukan rujukan agensi manakah yang dipilih menjadi agensi pelaksana. PP meminta saksi menyatakan apakah tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan PRU berjalan dengan baik mengikut undang-undang. Saksi tidak tahu akan hal itu.

Prosiding bersambung esok, Selasa, 11 April jam 9:45 pagi. Saksi yang akan hadir ialah Exco YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi seperti yang dinyatakan oleh PP kepada hakim.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 April 2023 – HARAKAHDAILY 10/4/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -