Pendekkan tempoh haji naikkan kos

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata cadangan memendekkan tempoh mengerjakan haji, terutama bagi jemaah muassasah tidak dapat membantu mengurangkan kos ibadat berkenaan.

Sebaliknya, katanya tindakan itu akan menyebabkan kenaikan kos kerana jemaah haji menginap di Makkah dan Madinah ketika waktu kemuncak haji.

- Advertisement -

Menurutnya, tempoh jemaah haji berada di tanah suci adalah antara antara 40 hingga 45 hari bagi pakej jemaah haji muassasah yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, tempoh itu mengambil kira jadual penerbangan sewa khas yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Secara amnya dengan memendekkan tempoh pakej muassasah, ini bermakna jemaah haji yang akan ke Arab Saudi akan mula menginap di Makkah dan Madinah pada waktu puncak.

“Ketika itu, harga tiket penerbangan dan sewaan bangunan amat tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Dr Mohd Na’im berkata, TH berusaha mengawal kenaikan kos dengan perjanjian kontrak jangka panjang yang dimeterai dengan beberapa pihak di Arab Saudi membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pelbagai perkhidmatan lain.

Katanya, dengan cara itu harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -