Penilaian kanak-kanak jadi saksi mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Keterangan Saksi dan Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 sebagai penting bagi melindungi kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau meminta penjelasan kerajaan berhubung kelayakan kanak-kanak untuk memberi keterangan sebagai saksi.

- Advertisement -

“Saya ada beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan. Bagaimanakah mahkamah menentukan atau menilai kelayakan kanak-kanak tersebut boleh memberi keterangan sebagai saksi?

“Seterusnya, merujuk kepada Seksyen 2, memperluaskan Pemakaian Akta 676 kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

“Adakah pindaan akta ini secara retrospektif. Jika tidak, adakah ia akan memberi impak kepada kes-kes berhubung saksi kanak-kanak antara 16 hingga 18 tahun yang sedang berlangsung di mahkamah,” katanya ketika perbahasan RUU itu di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina berkata, keterangan saksi penting kerana mampu memberi kesan kepada keputusan kes yang dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, definisi kanak-kanak mengikut Kanak-kanak 2001 adalah seorang yang berumur 18 tahun ke bawah.

Bagaimanapun, katanya Islam menerima kesaksian kanak-kanak dengan syarat kanak-kanak itu telah baligh dan dapat menilai antara baik dan buruk berhubung sesuatu perkara.

“Dalam kes-kes tertentu, ada kanak-kanak yang belum baligh terpaksa menjadi saksi dan perlu memberi keterangan.

“Pandangan Ibn al-Qayyim dalam hal ini ialah menerima keterangan kanak-kanak dalam kes-kes tertentu untuk melindungi hak dan kepentingan selaras dengan kaedah fiqah, iaitu kesukaran mencari sebab kepada kemudahan dan keringanan.

“Bagi tujuan menegakkan keadilan, Islam mengiktiraf perubahan yang berlaku disebabkan perubahan masa, tempat dan kebiasaan atau uruf masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -