Amaran PMX: Melayu jangan terlalu selesa dan angkuh

- Advertisement -

SAYA mengikuti sedutan video ucapan Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang menyebut Melayu Islam di negara ini agar tidak terlalu selesa dan angkuh di Perhimpunan Kementerian Kewangan semalam.

Benar sungguh dalam Islam mana-mana kaum atau agama tidak boleh diremehkan apa lagi jika ianya minoriti. Apatah lagi dengan kaum Melayu yang beragama Islam, sekalipun dirujuk sebagai majoriti lagi tidak boleh diremehkan.

Entah apa yang ada dalam benak fikir PMX sehingga melencong jauh saranan dengan menganggap Melayu Islam di negara ini dalam keadaan selesa dan angkuh. Dapatan data daripada sudut mana yang menampakkan kaum Melayu Islam menindas kaum dan agama lain?

Dalam kegarangan PMX melarang supaya tidak dibangkitkan soal kaum dan agama, beliau tiba-tiba menyongsang arus merendahkan kaum Melayu Islam. Bukankah pelecehan ini akan membibit soal perkauman juga nanti sebagai tindak balas, sama ada beliau lupa atau sengaja, siapa tahu?

Sebagai sebuah negeri yang majoriti Melayu Islam, Kelantan nampaknya dinafikan banyak perkara oleh Kerajaan Persekutuan. Lihat sahaja royalti petroleum, atau katakan wang ehsan sehingga kini tidak menemui titik temu.

Jika benar kerajaan hari ini ikhlas menyemai kesaksamaan, berikan hak Negeri Melayu Islam ini hak sama rata dengan negeri yang Melayu Islamnya minoriti. Jangan berat sebelah menimbang jatuh-bangun di negara lain hingga lupa realiti semasa dalam negara.

Kelantan tidak hanya perlukan sumbangan keraian iftar seperti diperolehi minoriti Islam Kemboja, kita hanya mahukan hak negeri dan rakyat diberikan tanpa mengira perbezaan politik.

Rakyat Melayu Islam angkuh ataukah Kerajaan Gabungan Anwar-Zahid yang super angkuh dan selesa menggunakan kuasa?

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS 
Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -