
KUALA LUMPUR: Petronas melunaskan bayaran tunai petroleum kepada Kerajaan Persekutuan bagi pengeluaran di luar pesisir pantai Semenanjung Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Menurutnya, ini adalah kerana semua medan pengeluaran di Semenanjung Malaysia berada di luar perairan negeri yang melebihi 3 batu nautika selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], termasuk Negeri Kelantan.
“Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan seterusnya menyalurkan dalam bentuk wang ehsan kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri berkenaan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli dalam soalannya meminta perdana menteri menyatakan komitmen Kerajaan Pusat dalam melakukan sebarang bayaran berkait dengan royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah lama tertangguh. – HARAKAHDAILY 13/3/2023




















