
KUALA LUMPUR: Pembangunan di Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan yang terletak bersebelahan kelihatan seperti kisah antara dua darjat yang berbeza.
Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, pembangunan di Golok jauh lebih baik sekali gus menarik ramai pelancong ke kawasan itu.
Menurutnya, kawasan negara juga berpotensi menarik lebih ramai pelancong melalui keindahan seni dan kepelbagaian budaya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menjelaskan usaha dan perancangan kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
“Ini untuk memastikan supaya manfaat ekonomi juga melimpah ke negara ini. Kalau lihat di kawasan sempadan ketika ini, contohnya Rantau Panjang dan Golok sangat jauh berbeza seperti antara dua darjat.
“Terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang sepatutnya kita perbanyakkan lagi serta boleh menarik pelancong berdasarkan kepelbagai seni budaya kita,” katanya semasa mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut King Sing, usaha menaik taraf infrastuktur perlu dilakukan di kawasan yang berpotensi menjadi tempat pelancongan.
“Ini memerlukan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri untuk sama-sama berbincang. Kita mesti berfikiran terbuka. Kita mesti lihat dan belajar bagaimana negara Arab boleh terima dan terbuka menerima pelancong.
“Setelah berfikiran begitu, barulah kita maju, sekali gus mengundang kehadiran pelancong untuk melihat seni dan budaya kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023




















