Parit Buntar suarakan masalah Bagan Datuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pekebun kecil kelapa di Bagan Datuk berdepan masalah banjir termenung yang parah tahun ini sehingga menyebabkan banyak tanaman diusahakan rosak.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar), berkata masalah itu dihadapi setiap tahun, tetapi tahun ini adalah paling teruk sehingga penduduk yang juga pekebun terpaksa berpindah

- Advertisement -

Walaupun bukan Ahli Parlimen Bagan Datuk, beliau yang berasal dari Parlimen diwakili Presiden Umno itu memberitahu sering diajukan soalan dan rayuan daripada penduduk di situ.

“Jadi apakah langkah kerajaan untuk membantu pekebun kelapa berkenaan supaya banjir tidak berlaku lagi pada tahun akan datang?

“Apatah lagi, banjir di Bagan Datuk berbeza dengan tempat lain. Ia adalah banjir termenung yang memerlukan masa dua hingga tiga minggu untuk air surut sepenuhnya.

“Situasi ini menyebabkan tanaman rosak, mati, bau busuk dan sebagainya. Jadi, apakah langkah kerajaan untuk membantu orang kampung?” soalnya.

Beliau berkata demikian semasa mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata situasi banjir di Bagan Datuk adalah di luar bidang kuasa kementerian itu.

Namun sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Ahmad Zahid mengajak Mohd Misbahul Munir berbincang perkara itu di luar dewan.

“Kebun kelapa ini yang terbesar mengikut geografi adalah di Bagan Datuk. Namun masalah banjir ini kita bincang di kantin sebentar lagi. Ada jalan penyelesaian kerana saya juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, jadi ada beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk mengatasinya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -