
KUALA LUMPUR: “Saya bangun sekadar ingin minta penjelasan, dan memperbetulkan fakta,” kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons ketika mencelah sewaktu Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, petang tadi.
“Saya bangkitkan kekeliruan apabila fakta dan angka menyatakan sebaliknya,” ujarnya.
Menurutnya, ekonomi negara terjejas akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 hingga 2022 yang perlu suntikan fiskal dan pakej rangsangan.
Beliau menjelaskan, perbelanjaan kerajaan dan hutang yang diambil ketika itu bukanlah bersifat ‘gelojoh’, tetapi atas keperluan dan melalui proses kelulusan berkaitan.
Katanya, beliau juga membacakan posting Facebook Rafizi pada 16 September 2015 yang berbunyi, “Semalam saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri dari melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan. Kerosakan ekonomi di zaman Najib Razak semakin menjadi-jadi kerana beliau turut menjadi Menteri Kewangan.”
“Namun hari ini, beliau menyebut YAB Tambun layak untuk menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
“Sesuatu yang bercanggah dengan apa yang diperjuangkan beliau dahulu,” kata Syahir. – HARAKAHDAILY 8/3/2023











