Madinah Ramadan sedia juadah percuma setiap Ramadan

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyediakan lokasi yang sesuai untuk orang ramai berbuka puasa beramai-ramai iaitu Madinah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, program iftar di lokasi terbabit diadakan setiap tahun sejak dahulu lagi.

“Di Madinah Ramadan kita sediakan makanan percuma pada setiap hari. Di lokasi itu turut dilengkapi dewan solat, tempat wuduk dan tandas awam.

“Ada baiknya orang ramai berbuka puasa di Madinah Ramadan berbanding di kawasan tepi Sungai Kelantan yang tidak menyediakan sebarang fasiliti,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri tidak menggalakkan orang ramai menjadikan tepi Sungai Kelantan di bandar Baharu Lembah Sireh sebagai lokasi berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya larangan itu berikutan pengunjung yang datang berbuka puasa dengan keluarga tidak menjaga kebersihan.

Kata beliau sampah dibiar merata tempat selepas orang ramai datang berbuka puasa di lokasi berkenaan.

“Jadi lokasi itu tidak sesuai lagi dijadikan lokasi orang-ramai berbuka puasa pada Ramadan kali ini.

“Lagi pun tanah di lokasi berkenaan bukan dimiliki kerajaan negeri, kawasan itu dimiliki sepenuhnya syarikat pemaju Liziz Standaco Sdn Bhd,” katanya.

Tahun lepas ramai penduduk tempatan dan dari daerah lain beriftar bersama keluarga di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh sambil menyaksikan matahari terbenam. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -