33 skim perkhidmatan kritikal layak terima BIPK

Muhammad Ismi Mat Talib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan anggota kesihatan.

- Advertisement -

Kata kementerian itu, pihaknya juga berterima kasih dan mengambil maklum saranan pelbagai pihak yang turut prihatin terhadap isu keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan KKM.

Demikian jawapan bertulis KKM kepada soalan Muhammad Ismi Mat Talib [PN-Parit] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Ismi meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada Kementerian akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan agar elaun kritikal diberi juga kepada jurupulih fisioterapi dan jurupulih cara kerja seperti mana ia diberi kepada para doktor dan jururawat atas sebab risiko pekerjaan.

Menurut KKM lagi, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) telah diperkenalkan pada tahun 1992 kepada pegawai dalam skim perkhidmatan tertentu yang menghadapi kekurangan bekalan tenaga manusia dalam perkhidmatan tertentu.

Katanya, BIPK diberikan berdasarkan kepada empat kriteria yang telah ditetapkan iaitu peranan dan sumbangan perkhidmatan ke arah pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara berdasarkan bidang-bidang yang telah diberi keutamaan di bawah rancangan-rancangan pembangunan negara.

Di samping itu, katanya kedudukan persaingan dalam pasaran buruh bagi tenaga anggota terlatih yang diperlukan, meliputi pertimbangan ke atas faktor-faktor seperti kedudukan penawaran dan permintaan, kadar pusing ganti dan kadar saraan di pasaran bagi kategori tenaga kerja berkenaan;

Selain itu, ujarnya kelayakan dan kebolehan yang perlu ada pada perkhidmatan iaitu dari segi kelayakan dan latihan, pengalaman, kepakaran, kemahiran dan bakat, dan keadaan persekitaran tempat kerja yang dilihat dari segi kesan-kesan kepada kesihatan, pendedahan kepada risiko-risiko kemalangan dan sistem waktu kerja yang digunakan.

Hingga kini, ujarnya 33 skim perkhidmatan daripada pelbagai kementerian telah ditetapkan sebagai perkhidmatan kritikal dan layak menerima BIPK.

Di bawah Kementerian Kesihatan, sebanyak lapan skim perkhidmatan telah diberikan BIPK.

“Buat masa ini, KKM dimaklumkan JPA sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung pelaksanaan pemberian BIPK kepada skim-skim perkhidmatan yang berkelayakan di bawah Kajian Rasionalisasi Elaun Perkhidmatan Awam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -