Kenyataan Menteri Ekonomi tidak tepat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa negeri di bawah pimpinan pembangkang menerima peruntukan perbelanjaan keseluruhan sebanyak 50 peratus adalah tidak tepat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, empat negeri yang ditadbir oleh pembangkang sebenarnya hanya menerima 17 peratus peruntukan keseluruhan bagi projek pembangunan.

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan fakta yang dibangkitkan oleh Rafizi ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 jelas menunjukkan bahawa negeri yang dikuasai pembangkang tidak mendapat peruntukan seimbang.

“Sebagai contoh dalam jawapan tadi, ada menyebut 443 projek dengan RM1.4586 bilion untuk Kedah, Kelantan ada 4,025 projek dengan RM1.545 bilion dan Perlis, 153 projek, dengan jumlah peruntukan RM560 juta.

“Kalau kita campur keseluruhan peratusan diumumkan tadi, Kedah hanya peroleh 4 peratus peruntukan, Kelantan, 7 peratus, Terengganu pula 4 peratus dan Perlis hanya 2 peratus. Jadi keseluruhannya hanya 17 peratus,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, keseluruhan projek di empat negeri pembangkang amat sedikit berbanding 18 peratus di Sabah dan 15 peratus di Sarawak.

“Ini bukan soal dengki, ini soal fakta. Negeri pembangkang (didakwa) diberi kuota lebih 50 peratus. (Tapi) 50 peratus ini kalau kita lihat, ia termasuk Sabah, Sarawak, ini bukan (negeri) pembangkang.

“Kedua-dua negeri ini menyokong kerajaan hari ini. Pembangkang hanya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Jadi kami bangkitkan, jawapan menteri (Rafizi) tadi tidak begitu tepat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta fakta yang tidak tepat itu disemak semula kerana didakwa mengelirukan sidang Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -