
KUALA LUMPUR: Inisiatif pembangunan asnaf yang diusahakan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, mendapat pujian penggantinya, Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Dr Mohd Na’im, pihaknya akan meneruskan usaha itu yang kini dibuat secara berfasa mensasarkan untuk penglibatan seramai 2,000 asnaf yang dilatih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPIEM).
“Walaupun dibuat secara berfasa, kita harap jumlah 2,000 orang asnaf itu akan kita capai, agar matlamat dan tujuan asal untuk mengurangkan jumlah asnaf kemudian menjadi pembayar zakat dapat direalisasikan.
“Itu memang inisiatif yang baik dan kita akan teruskan program ini,” katanya menjawab celahan Idris (PN-Bagan Serai), semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris meminta Dr Na’im menjelaskan sama ada kementerian masih meneruskan usaha berkenaan dengan jumlah sasaran melibatkan 2,000 orang asnaf.
Katanya, projek usaha sama MAIWP dan YaPIEM itu memperuntukkan RM20,000 modal kepada asnaf yang terpilih daripada 30,000 lebih penerima bantuan secara bulanan daripada MAIWP.
Malah projek berkenaan, katanya tidak memakan belanja yang banyak, hanya sekitar RM40 juta daripada 2,000 asnaf yang terlibat berbanding kutipan zakat oleh MAIWP yang mencecah RM900 juta.
“Ini salah satu cara untuk mengurangkan asnaf. Harapan kita, lima hingga ke enam tahun nanti, mereka pula jadi seorang yang mengeluarkan zakat kepada asnaf,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023




















