
Pertama-tama saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Profesor Emeritus Tan Sri Mohamad Kamal bin Hassan yang telah meninggal dunia pada 23 Februari 2023 yang telah banyak meninggalkan jasa kepada Islam dan juga kepada negara ini.
Kedua, kita sekarang berada di Parlimen. Apabila berada di Parlimen, kita memang akan sepatutnya menjaga kedaulatan negara tetapi akhir-akhir ini kita lihat berlaku beberapa perkara yang telah pun memberikan sedikit kerisauan kepada kita selaku Ahli Parlimen iaitu bilamana kita melihat sepatutnya pengasingan kuasa di antara legislatif, judiciary dan juga eksekutif akan menjaga keselamatan negara tanpa melakukan sesuatu yang sangat besar sehingga boleh menggugat keselamatan negara.
Tadi kita telah mendengar satu taklimat daripada Yang Berhormat Menteri berkenaan dengan isu yang berkaitan dengan Sulu. Sebelum ini kita mendengar taklimat berkenaan dengan Batu Putih. Kita tidak mahu sebagai negeri yang berada di sempadan, Kelantan, Sabah dan sebagainya mempunyai sedikit keresahan kerana apabila kerja-kerja yang berkaitan dengan keputusan dan tindakan yang membabitkan kedaulatan negara seharusnya ia bukan hanya berlegar di kalangan eksekutif.
Di sana terdapat satu garis halus yang perlu diputuskan oleh pihak kerajaan supaya menjamin kedaulatan negara kita daripada sebarang tingkah laku daripada eksekutif yang boleh memberikan satu mara bahaya kepada negara. Dalam hal ini, kita mempunyai banyak negara jiran yang mempunyai pertikaian berkenaan dengan hak-hak antara sempadan. Maka saya mohon, bukan kerja ini hanya diletakkan kepada Kementerian Luar sahaja ataupun kepada Kementerian Kehakiman tetapi harus ada beberapa perkara perlu dirujuk direct kepada Parlimen. Itu yang pertama.
Kedua berkenaan dengan kita memerlukan suatu lonjakan bagi reformasi untuk Parlimen. Saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan boleh mengkaji sekiranya perlu dibuat penempatan secara pinjaman kepada pensyarah-pensyarah undang-undang di universiti-universiti tempatan untuk berada di Parlimen dalam tempoh persidangan Parlimen supaya kita mahu anak-anak yang kita latih dalam bidang undang-undang khususnya dari segi perkembangan polisi dan undang-undang boleh melihat sendiri bagaimana proses berlakunya perkembangan pindaan dan perkembangan undang-undang membabitkan substantive law dan juga procedure law.
Jadi hari ini kalau mereka tidak berada di Parlimen, mereka tidak faham bagaimanakah solusi yang sepatutnya berlaku di kalangan masyarakat apabila ada masalah di bawa Parlimen dan Ahli-ahli Parlimen sepatutnya diberi ruang untuk mengemukakan rang undang-undang personal masing-masing untuk membantu kerajaan di samping kerja-kerja penggubalan undang-undang ini dibuat oleh pihak kerajaan. Sampai masa sudah 65 tahun kita pegang Parlimen, perlu mempunyai suatu rang undang-undang yang dicadangkan, private bill oleh ahli-ahlinya.
Ketiga, kita mahu melihat agar perkara ini berlaku bermula pendidikan kenegaraan ini berada di Parlimen dan diberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk mendapatkan bengkel-bengkel secara berkala bagi peningkatan dan pemerkasaan mutu dan kualiti apa yang akan kita bahaskan dalam negara kita.
Kedua, dalam hal saya setuju dengan pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Muar tadi berkenaan dengan isu TVET, berkenaan dengan isu bagaimana kita ingin melihat negara kita 10 tahun akan datang melihat kepada perkembangan pendidikan hari ini.
Kita melihat bagaimana dalam negara kita jarang kita dapati ibu bapa ataupun anak-anak sendiri yang mengambil personality test. Bayangkan mereka hanya ditanya tentang kerjaya ketika mereka berada di tingkatan empat atau selepas universiti. Ini sangat malang. Mereka gagal untuk mengenal potensi diri mereka. Saya kira adalah perlu bagi semua orang untuk memastikan di semua sekolah menengah rendah untuk memastikan anak-anak kita menjalani beberapa kali personality test supaya mereka dapat mengambil kursus yang sesuai dengan diri dan juga potensi serta bakat mereka.
Ibu bapa juga harus merangsang mereka supaya sesuai dengan minat dan bakat mereka bagi membantu perkembangan negara. Begitu juga kita melihat bagaimana perlunya pendidikan TVET diperkenalkan di sekolah-sekolah agama. Ini kerana di sana terdapat 100,000 orang anak-anak kita berada di sekolah agama. Maka perlu ada Maahad TVET dan sekolah-sekolah vokasional yang perlu dibantu oleh pihak kerajaan. Ini kerana kita kira sudah ringan beban kerajaan bilamana negeri-negeri membantu membuat sekolah-sekolah agama tetapi sepatutnya juga diberikan peluang supaya kita mendapatkan pakar-pakar dalam bidang agamawan yang insya-Allah akan mampu menjadi umara dan menceburi bidang teknikal.
Ketiga, bagaimana kita ingin melihat perubahan kepada sebuah negara andai kata kita tidak memperkasakan penghulu atau ketua-ketua kampung. Saya ingin mengetahui, apakah perancangan pihak kerajaan untuk memperkasakan pendidikan bengkel, silibus, diploma dan juga pentadbiran kepada penghulu-penghulu atau ketua kampung ataupun imam yang menjaga qariah mereka atau menjaga anak mukim mereka.
Hari ini kita lihat ada bajet diberikan oleh pihak Kementerian Luar Bandar dan sebagainya tetapi kita tidak melihat bagaimana proses pendidikan dan pemerkasaan pentadbiran ini difahami oleh mereka sebagaimana yang difahami oleh pegawai kerajaan. Sampai masanya kerajaan memperkenalkan satu skim khas untuk bayaran gaji yang munasabah kepada mereka. Ini kerana kita percaya mereka ini ramai di kalangan mahasiswa. Ada juga di kalangan veteran tentera dan juga orang-orang yang berkepakaran. Cuma mungkin sebahagian mereka ini bukan mahasiswa yang berada dalam masyarakat. Kebanyakan daripada penghulu-penghulu ataupun pemimpin komuniti ini, mereka tinggi psikososial mereka. EQ mereka tinggi berbanding dengan IQ yang mungkin kita lihat dibandingkan di kalangan mahasiswa di peringkat universiti.
Jadi, saya kira kebijaksanaan sosial yang mereka miliki ini perlu diperkemaskan dengan sistem pentadbiran dan bengkel-bengkel dan mungkin perlu masanya pihak kerajaan memperkenalkan satu akademi khas bagi latihan kepada imam untuk pentadbiran dan juga latihan kepada ketua-ketua komuniti untuk mendapat sijil dan pentauliahan di peringkat diploma sehingga peringkat ijazah, bagi membantu kerajaan ke depan.
Seterusnya lagi, berkenaan dengan pemantauan di antara wilayah-wilayah. Kita lihat hari ini apabila sebut tentang kesaksamaan keadilan kepada perkembangan ekonomi antara wilayah. Negeri Kelantan, 65 tahun sebagai sebuah negeri dalam Malaysia berbanding dengan Sabah, Sarawak yang mungkin lebih lewat dari Kelantan. Akan tetapi, kita melihat – saya ingin tahu berapakah bilangan? Berapakah mutu kekerapan yang telah diberikan kepada kemudahan-kemudahan asas yang akan merangsang ekonomi di negeri Kelantan?
Sebagai contohnya, kami adalah sebuah negeri yang belum ada lebuh raya sampai kini, baru nak buat – 65 tahun. Bagaimanakah sepatutnya lebuh raya ini boleh menjana ekonomi seterusnya juga boleh memberikan keselamatan kepada negeri untuk turut mobiliti? Kita lihat bagaimana USA dan juga Indonesia menggunakan jalan raya mereka untuk membantu keselamatan dan juga tentera. Kelantan antara negeri yang pertama yang dimasuki oleh pihak Jepun ketika Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua dan kita lihat bagaimana hari ini maintenance jalan-jalan.
Sebagai contohnya, jalan dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai. Kadang-kadang di tengah-tengah jalan tidak adapun garisan putih yang putus-putus. Alasannya, kerana tidak ada bajet. Ini membahayakan rakyat. Saya kira pemantauan Jalan-jalan Persekutuan ini perlu dibuat sebaiknya oleh pihak kerajaan.
Begitu juga dengan perancangan untuk melaksanakan Empangan Nenggiri dan juga Lebir di negeri Kelantan, saya harap pihak kerajaan memberikan perhatian. Kali ini membabitkan nyawa lebih daripada 300,000 orang rakyat Kelantan yang terdedah kepada banjir hampir setiap tahun.
Kita lihat juga bagaimana keadaan kita tidak mempunyai pelabuhan sebagaimana negeri-negeri lain. Jadi, kami tiada pelabuhan, kami tiada international airport, kami tiada lebuh raya, kami tiada empangan. Semua ini dinafikan hak kami semata-mata kerana kami menunaikan hak kami melalui demokrasi dengan memilih PAS sebagai sebuah kerajaan.
Dalam hal ini, saya juga ingin menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan dapatan daripada bajet. Kita mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil dengan rakyat sihat. Jadi, saya mohon kepada pihak kerajaan untuk memberikan definisi yang lebih lengkap kepada makna medical atau pun perubatan dalam pengecualian untuk LHDN. Ini kerana di sana terdapat bukan hanya alat, bukan hanya perubatan tetapi terapi-terapi, kursus-kursus yang mesti dijalani oleh anak-anak OKU atau pun orang-orang OKU yang memerlukan pelepasan bajet.
Bukan hanya pelepasan cukai pendapatan, bukan hanya terhadap anak mereka kerana ini memakan kos khususnya, sebagai contohnya kepada autisme. Mungkin memakan masa lima, enam tahun perlu kepada rawatan dan juga terapi yang akan memerlukan bantuan dan sumbangan daripada ibu bapa mereka. Saya juga mengharapkan pihak kerajaan untuk memberikan bantuan tambahan kepada bapa yang mempunyai anak-anak OKU yang menghantar anak mereka ke taska bukan sebagaimana anak-anak yang lain.
Juga, kita mengharapkan pihak kerajaan menambahkan item basikal, bukan hanya komputer kepada rakyat, supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih sihat.
Saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah pihak kerajaan bersedia untuk membuat satu prasarana tambahan di negeri Kelantan yang akan menghadapi SUKMA 2026 untuk menyediakan kolam renang patuh syariah dan mesra wanita? Ini kerana, kita kira dengan keadaan di Kelantan, 96.2 peratus adalah orang Melayu Islam, perlunya kepada sebuah kolam renang yang tidak boleh dinafikan keperluan kita untuk kita boleh berenang tetapi dalam masa yang sama juga menutup aurat.
Khas untuk Tumpat, saya ingin bertanya tentang beberapa perkara. Pertama, berkenaan dengan status pembinaan Jambatan Palekbang dan Penambang. Kedua, bilakah pembinaan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan Pasir Pekan akan dibuat? Ini kerana hari ini, pembinaan asal klinik kesihatan ini telah pun dimulakan pada tahun 1971. Hari ini sudah lebih daripada 50 tahun, maka, perlu kepada sebuah bangunan baru kerana hari ini harian pesakit yang datang berkunjung ke klinik kesihatan ini melebihi 400 orang.
Begitu juga, adakah kerajaan bersedia dan bercadang untuk membina fasiliti maritim di Tumpat sama ada di Pengkalan Kubu atau pun tempat lain yang lebih strategik kerana kita kira, kita merupakan negeri atau pun tempat terakhir sebelum masuk ke Thailand.
Seterusnya, berkenaan dengan keperluan sebuah dewan besar bagi kompleks pendidikan Wakaf Bharu yang mempunyai Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Sekolah Menengah Wakaf Bharu yang perlu kepada sebuah dewan. Saya kira sampai masa untuk kita menggerakkan suatu usaha seperti ini dan perlu keadilan kepada pihak pelajar supaya mereka boleh membuat kerja-kerja kokurikulum dan juga perhimpunan yang lebih aman bila mereka mempunyai sebuah Dewan yang sesuai.
Seterusnya, berkenaan dengan keperluan untuk pihak kerajaan melihat adakah cadangan daripada pihak kami sebagaimana di Kelantan, sekolah dimulakan pada jam 8 pagi. Ini kerana kita telah memakai GMT+8. Sebelum ini, kita ada GMT+7 tetapi bermula 1982, kita telah menggunakan GMT+8. Pada hari ini menyebabkan kadang-kadang waktu solat berada dalam waktu sekolah. Jam 7.30 sudah ke sekolah, sedangkan itu masih lagi waktu Subuh. Jadi, saya kira sampai masa pihak kerajaan untuk melihat kepada kesesuaian, bukan hanya pakaian, tetapi juga waktu dan masa yang sesuai dengan semua peralihan masa siang dan malam.
Seterusnya, berkaitan dengan wanita. Saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan, apakah perkembangan program yang telah dibuat sebelum ini iaitu MyKasih Kapital dan Wanita Bangkit yang saya kira boleh menggerakkan ekonomi wanita yang telah dijalankan oleh kementerian sebelum ini. Adakah kerajaan mempunyai galakan pendidikan usahawan online kepada para suri rumah? Ini kerana pada hari ini, kita melihat keperluan kepada pendidikan usahawan online kementerian ini perlu dikhususkan kerana ini adalah peluang untuk mereka menjana pendapatan.
Bilakah pewartaan akta gangguan seksual akan dibuat? Berapakah kes yang telah dilaporkan oleh pihak rakyat tentang berlakunya kesalahan atau pun jenayah body shaming yang telah dibuat kepada wanita?
Terakhir, saya ingin bertanya apakah nama negeri yang menempatkan Pelantar Bunga Raya, Pelantar Cakerawala dan Pelantar Bintang yang menjadi antara pendapatan dan sumber kewangan kepada PETRONAS di Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/3/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2023.




















