Pejuang, Berjasa mohon sertai PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Permohonan dua parti Melayu iaitu Pejuang dan Berjasa untuk sertai PERIKATAN NASIONAL (PN) membuktikan pengaruh PN semakin meluas sehingga berjaya menarik perhatian banyak parti politik.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun tidak menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan, namun PN semakin mendapat sambutan beberapa parti lain untuk menyertainya.

“Kita tengok nanti bagaimana perkembangannya. Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah membuat kenyataan berhubung perkara itu.

“Kita tengoklah macamana keputusannya nanti. InsyaAllah ia akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru selepas menyampaikan sumbangan pada majlis Prihatan Kota Bharu Cakna Kota Lama di Pusat Aktiviti Sosial Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di sini hari ini. (Foto atas)

Hampir 200 penduduk yang terdiri warga emas menerima sumbangan berkenaan.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada kenyataan hari ini mengumumkan hasrat untuk menyertai PN.

Presidennya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata surat mengenainya sudah dihantar kepada Pengerusi PN untuk memohon supaya parti terbabit diterima sebagai ahli komponen PN.

Kata beliau keputusan tersebut dibuat selepas mereka mencapai kesepakatan melalui Majlis Eksklusif Pusat (MEP) Pejuang.

Takiyuddin berkata, perkara itu (permohonan Pejuang) akan dibawa kepada mesyuarat tertinggi PN. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -