Berikan pampasan RM100 juta kepada Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta kerajaan Persekutuan memberi pampasan munasabah sejumlah RM100 juta bagi memulihara hutan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal.

Beliau berkata, kawasan tadahan hujan Ulu Muda di Kedah perlu dilindungi daripada pembalakan dan pembangunan.

- Advertisement -

“Hal demikian kerana ia merupakan kawasan punca sungai empangan yang membekalkan 90 peratus bekalan air di Kedah, 80 peratus di Pulau Pinang dan 70 peratus di Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya.

“Seramai 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah di Ulu Muda,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ahmad Fakhruddin berkata, perkara ini berdasarkan pengorbanan Kedah bagi mengekalkan kawasan hutan yang menyebabkan kehilangan hasil yang agak tinggi demi negeri Pulau Pinang dan Perlis.

Menurutnya, Kedah juga memohon agar pampasan padi diberikan secara setimpal dengan kos melepas.

Beliau berkata, jika tiada usaha bagi mengekalkan penggunaan tanah sawah padi, sudah tentu segala perancangan ke arah menjamin keselamatan makanan tidak dapat direalisasikan dan bakal menjejas nilai maqasid syariah penjagaan nyawa itu sendiri.

“Jika tanah sawah padi negeri ini ditukar kepada tanah komersial, nilai kutipan cukai tanah yang diperolehi adalah RM1.7 bilion. Permohonan ini mengambil kira 10 peratus daripada kos melepas RM1.7 bilion tadi, iaitu sekitar RM170 juta sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -