
KUALA LUMPUR: Secara umumnya, sehingga 20 Februari 2023, terdapat seramai 383,555 orang pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan 83,503 orang pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terdiri daripada keluarga B40.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, dalam konteks kebajikan dan kesejahteraan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), kementerian telah melaksanakan pelbagai bentuk inisiatif/bantuan kepada pelajar golongan B40 di seluruh negara.
Katanya, inisiatif itu merangkumi program di peringkat KPT dan usaha-usaha oleh IPT-IPT di peringkat kampus masing-masing.
Tambahnya, usaha-usaha dan inisiatif di peringkat KPT termasuklah Program SULUNG iaitu pembiayaan penuh pengajian kepada pelajar yang merupakan generasi pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
KPT memberitahu pembiayaan itu mencakupi bantuan perbelanjaan kemasukan, kewangan dan pembangunan insaniah pelajar.
“Projek Rintis bagi program ini telah dimulakan pada tahun 2022 melibatkan 8 buah universiti awam melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.3 juta,” ujar KPT dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan [PN-Permatang Pauh] di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Fawwaz meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah pelajar IPTA dan IPTS daripada kalangan keluarga B40 di seluruh negara serta perancangan Kementerian untuk bantu ringankan beban pelajar.
Menurut KPT lagi, bagi tahun 2023, program itu akan terus dilaksanakan dan diperluaskan kepada semua 20 universiti awam dengan melibatkan lebih ramai pelajar B40.
Katanya, yang kedua, pelaksanaan inisiatif Food@Campus di mana inisiatif itu dilancarkan oleh kerajaan melalui KPT bermula tahun 2021 dengan perbelanjaan sebanyak RM7,056,660.
Peruntukan itu, katanya bertujuan menyediakan 470,444 baucar makanan kepada 42,633 pelajar.
Pada tahun 2022 pula, sebanyak 369,504 unit baucar makanan telah disediakan kepada 176,083 orang pelajar yang berjumlah RM5,542,563.
Katanya lagi, ketiga KPT telah memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah Siswa yang menawarkan menu makanan dengan penetapan harga di antara RM3.50 ke RM5.00.
Menurutnya, pihak kementerian juga turut bekerjasama dengan beberapa rakan strategik dalam pemberian bantuan kepada para pelajar yang memerlukan.
Ujarnya, Lembaga Tabung Haji (TH) melalui inisiatif Program Corporate Social Responsibility (CSR) Zakat TH antaranya telah melaksanakan Program Iqra TH yang merupakan pakej sumbangan/bantuan kepada pelajar asnaf atau B40 di Universiti Awam.
“Semenjak tahun 2012, TH telah menyumbangkan lebih RM49 juta yang telah memberi manfaat kepada lebih 89,000 orang pelajar IPT,” katanya.
KPT turut menawarkan Dermasiswa B40 Bidang Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) yang dikhususkan kepada pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA.
Katanya, di bawah Dermasiswa B40 ini, KPT memberi tanggungan sepenuhnya yuran pengajian dan pemberian elaun wang saku sebanyak RM630 sebulan bagi pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Diploma dan RM700 sebulan bagi peringkat Ijazah.
Selain itu, jelasnya Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) iaitu bantuan sebanyak RM1,800 setiap semester (sehingga Semester 3 sahaja) berdasarkan kadar elaun wang saku RM300 sebulan yang ditawarkan kepada pelajar B40 di kolej komuniti yang mengikuti pengajian di peringkat sijil secara sepenuh masa. – HARAKAHDAILY 1/3/2023











