Projek jambatan Palekbang-Kota Bharu dalam penilaian tender

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu sedang dalam peringkat akhir penilaian tender perolehan projek oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

- Advertisement -

Kementerian Ekonomi menyatakan proses tender perolehan dijangka akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun 2023, manakala pembinaan dijangka bermula pada suku kedua tahun 2023 dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2025 dengan tempoh selama 32 bulan.

Demikian jawapan bertulis kementerian itu kepada soalan Dato’ Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mumtaz dalam soalannya minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah status pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang bakal menjana perkembangan kepada ekonomi penduduk di jajahan Tumpat sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ke-9 baru-baru ini.

Kata kementerian itu lagi, projek pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, Kelantan merupakan projek yang telah diluluskan semasa Rolling Plan Keempat (RP4) tahun 2020 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

Ktanya, berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 (Highway Network Development Plan 2030), cadangan pembinaan projek ini akan menjadi pelengkap kepada jalan lingkaran dalam Kota Bharu yang akan mengurangkan isu kesesakan trafik sedia ada di Jambatan Sultan Yahya Petra.

“Dalam masa yang sama, ia juga berupaya memangkin pertumbuhan di kawasan Palekbang, khususnya di Wakaf Bharu, Tumpat dan kawasan sekitarnya, termasuk di Kampung Laut dan Pasir Pekan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -