
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyedari telah berlaku kelewatan dalam pembekalan baja oleh pembekal kepada pesawah-pesawah dan memandang serius terhadap masalah itu.
KPKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Dr Abd Ghani Ahmad [PN-Jerlun] yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah punca kelewatan bekalan baja kepada petani-petani dan nyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
Menurut KPKM, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah dilantik sebagai pembekal dan pengedar dalam Kontrak Pembekalan Bantuan Kerajaan kepada lndustri Padi dan Beras (BKKIPB) bermula 15 September 2021 sehingga 31 Disember 2023.
“Ianya melibatkan program-program seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim lnsentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB),” ujar kementerian itu, semalam.
Katanya, antara punca kelewatan urusan pembekalan baja dan racun kepada pesawah adalah NAFAS terputus bekalan bahan mentah sehingga hampir 40 hari yang kebanyakannya diimport dari luar negara kesan dari kesukaran negara pengeksport untuk mengeksport bahan mentah ke Malaysia, kenaikan harga bahan mentah yang mendadak berikutan pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine dan pemberhentian pembekalan bahan mentah oleh pembekal dan tempoh proses yang agak lama untuk mendapatkan bahan mentah tertentu pada kadar yang kompetitif.
Menurutnya lagi, sebagai langkah penambahbaikkan bagi memastikan masalah kelewatan pembekalan itu daripada berulang, kementerian telah meminta pihak pembekal untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
Antara langkah yang telah diambil oleh pihak pembekal ialah mendapatkan sumber bahan mentah alternatif dari negara pengeksport lain dan dalam negara dengan harga pasaran semasa, merangka secara komprehensif pembekalan baja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan seterusnya kepada pesawah melalui penyusunan penghantaran mengikut keutamaan yang diselaraskan dengan jadual pemulaan tanaman di setiap kawasan mengikut negeri.
Selain itu, menyediakan protege di beberapa kawasan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan pembekalan serta menjadi pakar rujuk di lapangan kepada PPK dan pesawah, berkerjasama dengan rakan strategik pengeluar baja tempatan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi pembekalan dan pengedaran baja yang tertunggak dan seterusnya pembekalan pada musim akan datang terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, ujarnya menyediakan dana bagi penambahbaikan dan menaik taraf setor baja di PPK sehingga nilai RM20,000 bagi sebuah setor agar kualiti baja yang dibekalkan dapat disimpan dengan baik dan selamat serta menjamin tahap kualiti baja.
Selain itu, kementerian juga mengenakan denda ke atas NAFAS bagi sebarang kelewatan dalam pembekalan dan penghantaran input pertanian kepada pesawah.
“Kenaan denda ini adalah sebanyak satu peratus untuk setiap hari kelewatan baja daripada nilai penghantaran dan kutipan pembayaran denda dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan.
“Ini merupakan langkah kawalan oleh kerajaan bagi memastikan pembekalan oleh NAFAS adalah dalam tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2023











