Hasil perikanan utama RM10.802 bilion pada 2021

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,328,041 tan metrik bersamaan nilai RM10.802 bilion direkodkan untuk hasil perikanan utama negara daripada perikanan tangkapan pada 2021 berdasarkan data semasa Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).  

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kerajaan menyasarkan hasil perikanan tangkapan adalah sebanyak 68.69 peratus bersamaan 14,962,100 tan metrik bagi tempoh 10 tahun akan datang iaitu 2021-2030.

“Penetapan sasaran bagi tempoh 2031-2033 masih dalam penelitian dan akan dibuat berdasarkan status stok perikanan negara pada tempoh masa tersebut,” ujar KPKM dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh [PN-Pasir Puteh] di Dewan Rakyat, semalam.

Nik Muhammad Zawawi meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan dan sasaran pihak kerajaan dalam membantu para nelayan di seluruh negara.

Beliau juga bertanya berapakah jumlah peratusan hasil perikanan semasa dan sasaran dalam masa 10 tahun akan datang dan apakah langkah-langkah yang sedang dan akan diambil bagi meningkatkan sumber bekalan perikanan laut negara.

KPKM berkata, bagi meningkatkan sumber bekalan perikanan laut negara, langkah yang dilaksanakan adalah mempergiatkan aktiviti-aktiviti penangkapan ikan di laut lepas dan laut dalam, meningkatkan kawasan-kawasan perlindungan sumber perikanan dengan mewartakan kawasan refugia, taman laut dan santuari, meningkatkan bilangan tukun tiruan di kawasan-kawasan zon larangan pukat tunda dan Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (Ecosystem Approach to Fisheries Management – EAFM). – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -