Kelantan terkejut menteri sebut tidak layak dapat royalti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan langsung tidak menduga kerajaan Persekutuan bawah PH-BN mendakwa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sama sekali tidak dijangka.

“Kita langsung tidak duga perkara itu berlaku dengan jawapan yang tegas oleh menteri terbabit.

“Sepatutnya isu royalti ini boleh dirunding. Dahulu pun kita pernah runding dengan kerajaan Pusat yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, cuma ia belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Azalina yang menganggap Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Mohd Amar ditemui selepas Majlis Penyampaian Watikah Penghulu Negeri Kelantan 2023/2024 di Dewan Perniagaan Cina semalam. (Foto atas)

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Timbalan Menteri Besar berkata, kenyataan menteri terbabit seolah-olah menutup pintu rundingan antara kerajaan Kelantan dan Persekutuan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan negeri akan mencari ruang sesuai untuk berbincang mengenai tuntutan royalti petroleum. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -