
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat mengutamakan kemajuan Lapangan Terbang Pulau Pinang, berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang hendak dibina oleh kerajaan Kedah.
Ini berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Hasbi Habibollah, ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Suhaimi bertanya: “Sekiranya pihak negeri dapat mencari kewangan untuk menunaikan ataupun dan membangun lapangan terbang tersebut, adakah kerajaan akan memberi kebenaran untuk mereka menjalankan projek ini.”
Hasbi menjawab, kerajaan tiada cadangan untuk mempertimbangkan cadangan pembinaan KXP sehingga keupayaan Lapangan Terbang Pulau Pinang mencapai tahap maksimum.
Menjawab soalan asal Langkawi, beliau berkata kerajaan tidak memberi kelulusan untuk menubuhkan aerodrom bagi projek KXP seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.
Katanya, cadangan pembinaan KXP adalah inisiatif anak syarikat kerajaan Kedah dan syarikat swasta, serta tidak melibatkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) secara langsung dan setakat ini, tidak disenaraikan sebagai projek pembangunan di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Dalam ucapan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, kerajaan telah memutuskan antara lain, untuk memberi keutamaan kepada pembesaran dan penaiktafaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang akan diterajui oleh MAHB,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan ini dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos yang lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim. – HARAKAHDAILY 27/2/23




















