
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Alias Razak [PN-Kuala Nerus] mengemukakan pertanyaan mengenai gaji serta kebajikan doktor dan petugas kesihatan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula struktur gaji serta kebajikan doktor dan petugas kesihatan sesuai dengan bebanan tugas yang dipikul mereka.
Menjawab soalan itu, Kementerian Kesihatan menyatakan pemberian gaji dalam perkhidmatan awam diberi berdasarkan prinsip rate for the job yang mengambil kira kompleksiti dan bebanan tugas.
Katanya, pelaksanaan semakan gaji pegawai awam dibuat bersekali dan menyeluruh oleh Agensi Pusat tertakluk kepada keadaan fiskal kewangan Kerajaan.
“Selain gaji bulanan, pegawai boleh mendapat Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan kadar ini sebenarnya telah sedikit sebanyak mengambil kira faktor kenaikan sara hidup pada setiap tahun,” ujarnya dalam jawapan bertulis.
Menurutnya, mengambil contoh Pegawai Perubatan Gred 41 dengan KGT tahunan sebanyak RM225 akan menerima tambahan gaji sebanyak RM2,700 setahun.
Selain itu, ujarnya pelaksanaan dasar kenaikan pangkat time-based menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai yang mencapai prestasi yang baik.
“Dengan ini, pegawai berpeluang untuk meningkat dalam kerjaya melalui kaedah kenaikan pangkat tanpa terikat kepada keperluan kekosongan jawatan,” tambahnya.
Katanya lagi, pegawai juga akan mendapat gaji yang lebih baik selaras dengan gred kenaikan pangkat yang disandang. – HARAKAHDAILY 27/2/2023




















