
MAHKAMAH Pilihan Raya Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pagi ini telah memerintahkan Petisyen Pilihan Raya bagi Kawasan Pilihan Raya P.032 Gua Musang dibatalkan dengan kos berjumlah RM25,000.
YA Dato Roslan bin Haji Abu Bakar sewaktu membuat keputusan itu memaklumkan bahawa beliau bersetuju dengan 3 Isu Bantahan Awal yang dikemukakan oleh Peguambela Responden sebagaimana berikut:-
(a) Tafsiran tempoh pemfailan Petisyen yang melibatkan alegasi rasuah, sogokan dan penjamuan hendaklah difailkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh berlakunya dakwaan perbuatan rasuah/sogokan. Perkataan ”the aforesaid date” dan ”since the date” dalam Seskyen 38(1)(a) dan Seksyen 38(1)(b)(ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah merujuk kepada tarikh dakwaan sogokan yang dikatakan berlaku pada hari mengundi pada 19.11.2023. Oleh itu Mahkamah memutuskan tafsiran yang tepat bagi “aforesaid date” ialah dari tarikh dakwaan rasuah/sogokan/penjamuan berlaku, dan bukannya merujuk kepada tarikh warta keputusan Pilihan Raya. Dalam kes ini tarikh yang didakwa berlakunya sogokan pada hari mengundi, 19.11.2023. Petisyen ini difailkan pada 3.1.2023 iaitu berlaku kelewatan selama 17 hari. Atas asas ini Petisyen ini difailkan diluar masa dan bercanggah dengan Seksyen 38(1)(a) dan (b)(ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954;
(b) YA Hakim juga memutuskan fakta-fakya yang diplidkan untuk menyokong Petisyen adalah defektif dan cacat kerana kegagalan Pempetisyen memperincikan dengan jelas butiran pembayaran, pihak yang menerima dan pemberi yang dikaitkan sebagai agen Responden. Mahkamah juga menegaskan pliding Pempetisyen tidak memplidkan fakta mencukupi bagi mengaitkan penama-penama yang didakwa sebagai agen, untuk menunjukkan perihal hubungan ejen dan calon yang jelas di sisi undang-undang.
(c) YA Hakim juga memutuskan bahawa peruntukan berkaitan pembayaran duti setem bagi Notis Lantikan Peguambela adalah mandatori. Justeru kegagalan Pempetisyen mematuhi peruntukan tersebut adalah fatal dan menjadikan Petisyen tersebut tidak sah dan perlu dibatalkan.
Atas asas itu Mahkamah memutuskan bahawa keseluruhan Petisyen ini adalah cacat dan tidak sah.
Sehubungan dengan itu Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengisytiharkan bahawa pemilihan Responden selaku Ahli Parlimen bagi P.032 Gua Musang adalah sah. Justeru Petisyen dibatalkan dengan kos berjumlah RM25,000 kepada Responden.
Walau bagaimana pun Pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan ini untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.
YB Datuk Azizi bin Abu Naim selaku Responden bagi Petisyen ini diwakili sekumpulan Peguambela-peguambela, yang terdiri daripada:-
(i) Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan
(ii) Wan Rohimi bin Wan Daud
(ii) Nik Bahrum bin Nik Abdullah
(iv) Yusfarizal bin Yussoff
(v) Mohd Faizi bin Che Abu
(vi) Aznam bin Mohamed
Sekian dimaklumkan,
AHMAD LUTFI AWANG
Setiausaha
Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM)
PAS Pusat
26.2.2023 @12.18pm – HARAKAHDAILY 26/2/2023




















