
KANGAR: Projek Pelabuhan Sanglang untuk mengendalikan kargo petroleum dan pukal mampu memberi impak besar kepada Perlis, sekali gus memberi nilai tambah kepada perkembangan ekonomi negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, projek itu juga adalah baik bagi menyokong ekosistem pesisir pantai daripada hakisan dan kerajaan negeri akan meminta supaya projek itu segera dilaksanakan.
Katanya, projek itu bukan sahaja menyokong pembangunan Pelabuhan Sanglang atau Sanglang Integrated Jetty (SIJ), tetapi melindungi kawasan pesisir pantai.
“Sokongan dan peruntukan berterusan dari Kerajaan Pusat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan hubungan baik juga perlu dijaga.
“Malaysia adalah negara untuk semua dan tidak perlu ada negeri yang tertinggal. Pembangunan yang menyeluruh adalah sangat penting bagi mengurangkan migrasi penduduk dan rakyat di setiap genap pelosok negara wajar dapat merasai nikmat pembangunan,” katanya.
Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan Belanjawan 2023 petang semalam, terutama berkaitan projek berimpak tinggi di Perlis.
Dalam pembentangan itu, antara projek yang diumumkan ialah pembinaan struktur baharu hakisan pantai melibatkan Kuala Sanglang – Kuala Jerlun, Kubang Pasu, Kedah. – HARAKAHDAILY 25/2/2023




















